
INDERA MAHKOTA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pahang terus mengorak langkah membantu keluarga asnaf menerusi program Khatan Is’aadul Usrah di Klinik Safeeya, Sungai Karang Kuantan, di sini kelmarin dahulu.
Seramai 15 kanak-kanak dari sekitar DUN Beserah telah dipilih menyertai program ini sebagai membantu mereka yang kurang berkemampuan terutama kalangan penduduk terkesan dengan COVID-19.
Koordinator Sukarelawan YADIM Kawasan Indera Mahkota, Ustaz Zainal Abidin Mohamad berkata program seperti ini pada kebiasaannya diadakan secara beramai-ramai pada setiap tahun di musim cuti sekolah.
“Tetapi telah tidak dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi membendung pendemik COVID-19.
“Kami usaha untuk mengadakan program ini dalam skala yang kecil, peserta dibahagikan kepada 3 sesi bagi memastikan tiada perkumpulan yang ramai dan SOP berkaitan COVID-19 dapat dipatuhi sebaiknya,” katanya lagi.
Program ini dijalankan di seluruh negara dan di peringkat negeri Pahang ia diadakan di tiga lokasi iaitu Pekan, Kuantan dan Temerloh.
Bapa seorang kanak-kanak yang menyertai program ini, Abdul Rahman Mohd Rosely melahirkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana membantu golongan sepertinya untuk melaksanakan tanggungjawab dituntut agama.
ADUN Beserah, Andansura Rabu yang dihubungi sangat mengalu-alukan program berbentuk begini yang boleh membantu golongan memerlukan terutama dalam suasana sekarang termasuk dalam bentuk bantuan material.
“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada YADIM Pahang dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) yang telah berjaya mengadakan program ini katanya lagi.
Pengarah YADIM Pahang, Ustaz Hazmi Dibok pula menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada para doktor dan pembantu dari NGO PAPISMA Pahang yang telah bersama-sama menjayakan program ini.
Beliau seterusnya mengharapkan agar kerjasama yang erat ini dapat diteruskan lagi di masa-masa yang akan datang. – HARAKAHDAILY 22/12/2020













