
KERAJAAN Malaysia seperti yang ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Disember 2020, berusaha untuk meningkatkan pembelian vaksin COVID-19 agar boleh menampung keperluan imunisasi sehingga 70 peratus rakyat. YAB Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.
Selaras dengan pendirian kerajaan, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, telah mengambil ketetapan bahawa Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Ketetapan ini juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-raja.
Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam agar patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada pihak kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19 menerusi penggunaan vaksin.
Penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak. Ini terbukti, kaedah pencegahan melalui vaksinisasi dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia daripada tahun 1988 hingga 2013, iaitu:
(i) Pelalian Rubela (lmunisasi Rubela) (tahun 1988).
(ii) lmunisasi Hepatatis B (tahun 1988).
(iii) lmunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus Dan Polio (tahun 1989).
(iv) Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis (tahun 2002 dan dipinda keputusannya pada 2014).
(v) Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) (tahun 2010).
(vi) Vaksin Meningitis Menveo (tahun 2013).
Di peringkat Antarabangsa, institusi-institusi fatwa dunia telah memfatwakan keharusan penggunaan vaksin. Antaranya adalah institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif menerusi Hai’ah Kibar ‘Ulama al-Azhar dan Majma’ al-Buhuth al-lslamiyyah yang dipengerusikan Syeikh al-Azhar Syeikh Dr. Ahmad al-Tayyib [1]; Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu yang dipengerusikan oleh Syeikh Abdullah Ben Bayyah [2] dan Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah, Amerika yang dianggotai oleh Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaily [3]. Hal ini saya akan perjelaskan lagi dalam Majalah al-Bayan siri ke-7 terbitan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedikit masa lagi.
Justeru, dalam isu pengambilan vaksin COVID 19 ini, ia adalah ketetapan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Ini kerana, pihak kerajaan dituntut memutuskan sesuatu keputusan yang paling mendatangkan maslahah kepada keseluruhan rakyat, setelah menimbangtara faktor-faktor yang pelbagai serta setelah mendapatkan pandangan-pandangan daripada pihak-pihak yang berkepakaran dan juga berautoriti. Ini berdasarkan sebuah kaedah fekah yang masyhur:
تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَةِ
“Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat adalah terikat dengan maslahah.”
Saya akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا إتبَاعَه وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابَه
“Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan kepada kami untuk menjauhinya.”
Sekian, terima kasih.
YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
23 Disember 2020 bersamaan 8 Jamadil Awwal 1442H – HARAKAHDAILY 23/12/2020
[1] Surat Syeikh al-Azhar kepada YB Menteri di JPM Menteri di JPM (HEA) berkenaan fatwa COVID-19 bertarikh 22 Disember 2020.
[2] Surat Syeikh Abdullah bin Bayyah kepada YB Menteri di JPM (HEA) berkenaan fatwa COVID-19 bertarikh 21 Disember 2020.
[3] Surat Dr. Muhammad al-Zuhaily kepada YB Menteri di JPM (HEA) berkenaan fatwa COVID-19 bertarikh 20 Disember 2020.











