
PENGKALAN CHEPA: Orang ramai termasuk media dinasihatkan tidak mensensasikan kes-kes jenayah yang dikaitkan dengan golongan agamawan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia melibatkan soal kepentingan dan keyakinan masyarakat kepada agamawan.
Tambahnya, lebih besar lagi institusi agama itu sendiri akan tercalar apabila ia disensasikan sedangkan kes berkenaan melibatkan seorang dua sahaja.
“Lagi pun secara umumnya, seseorang itu belum dikira bersalah selagi tidak dibuktikan oleh mahkamah bahawa dia bersalah.
“Untuk mendakwa apa sekalipun termasuk melaporkan kepada pihak keselamatan sesiapa pun boleh buat.
“Kerana itu saya suka mengingatkan semua pihak agar tidak mensensasikan isu yang membabitkan agamawan,” katanya kepada media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Musim Tengkujuh kepada Nelayan dan Petani di DUN Panchor semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata demikian ketika ditanya mengenai banyak kes jenayah khususnya gangguan seksual yang dikaitkan golongan agamawan termasuk guru agama.
Ahmad Marzuk juga berkata, media kena berhati-hati supaya tidak mensensasi isu berkenaan.
“Perkara yang buruk seumpama itu sebolehnya perlu ditutup, sekiranya tidak menjejaskan soal kepentingan awam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/12/2020











