Kementerian tumpu 25 projek ‘sekolah sakit’

- Advertisement -

PADANG BESAR: Sebanyak 25 projek ‘sekolah sakit’ dan terbengkalai di negara ini diberi perhatian serius Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata, kementerian berkenaan mengenal pasti sekolah terbabit dan proses pembinaan semula dijangka bermula tahun hadapan.

- Advertisement -

Katanya kriteria sekolah ‘sakit’ dan terbengkalai termasuk sekolah yang mengalami kelembapan dan pemberhentian projek secara tiba-tiba.

“Kita akan memberi perhatian kepada projek pembinaan yang sudah bertahun lama terbengkalai dan pada masa ini mengenal pasti sekolah yang akan dimulakan semula pembinaan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Sekolah Sukan Perlis (SSP), Bukit Chabang di sini, hari ini.

Menurutnya juga, SSP merupakan projek pembinaan sekolah yang terbengkalai dan sepatutnya siap pada pada 2014 lagi.

“InsyaAllah kerja pembinaan bagi dua fasa untuk sekolah ini akan dimulakan pada Januari hadapan.

“Bagi fasa pertama sambungan kerja pembinaan semula sekolah ini membabitkan kos sebanyak RM41 juta, di mana struktur seperti bilik darjah, asrama, blok pentadbiran dan kemudahan sukan akan dibina,” katanya.

SSP dibina di kawasan seluas 25.5 hektar dan apabila siap kelak mampu menempatkan seramai 600 pelajar.

Turut hadir Exco Pendidikan Negeri, Rozieana Ahmad dan Pengarah Pendidikan Perlis Naharudeen Othman. – HARAKAHDAILY 21/12/2020

- Advertisement -