Kegagalan pembangkang tolak bajet jadi ‘ingatan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kegagalan pihak pembangkang untuk menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat semalam adalah sejarah yang tidak harus dilupakan.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata pelbagai serangan daripada pihak pembangkang untuk menggagalkan RUU ini, namun menemui jalan buntu apabila Belanjawan 2021 lulus untuk bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

- Advertisement -

“Semalam, bacaan kali ketiga (Belanjawan 2021) juga diminta undian secara belah bahagian, hasilnya 111 orang menyokong dan 108 orang menolak serta satu tidak hadir.

“(Semalam) Berakhirnya perbahasan Belanjawan 2021 yang menyaksikan serangan pembangkang untuk menggagalkannya berulang kali. Ia adalah sejarah untuk dibaca oleh anak-anak cucu nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah sangat tepat untuk menyelamatkan Malaysia daripada kerajaan sebelumnya (PH) yang telah runtuh.

“Ternyata (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menjadi pilihan tepat ahli-ahli Parlimen untuk terus menyokong dan memberi kejayaan kepada Belanjawan 2021.

RUU tersebut telah diluluskan di peringkat dasar pada 26 November lepas menerusi undian suara majoriti meskipun terdapat cadangan untuk undian belah bahagian namun gagal apabila hanya 13 orang sahaja yang bangkit menyokong tidak mencapai 15 orang yang dikehendaki.

Sejumlah 27 kementerian yang telah selesai perbahasan belanjawan untuk diluluskan di peringkat jawatankuasa. Sebanyak 18 kementerian lulus secara undian suara, manakala sembilan lulus melalui undian belah bahagian.

Menurut Abdul Latiff, walaupun Belanjawan 2021 lulus dengan majoriti mudah, namun ia membuktikan bahawa kerajaan Perikatan Nasional masih kuat.

“Alhamdulillah, Belanjawan 2021 lulus walaupun dengan majoriti mudah, tetapi itulah gambaran sebenar kekuatan kerajaan Perikatan Nasional. Kami bersatu hati dan bersatu sokongan bagi memastikan kepentingan rakyat diutamakan.

“Tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin, Menteri Kewangan dan seluruh Kabinet serta kerajaan. Semoga belanjawan 2021 akan dapat dinikmati dan sampai ke seluruh rakyat bagi menghadapi kesukaran Covid-19 dan kesakitan ekonomi,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2020

- Advertisement -