
HARI ini 15 Disember 2020 merupakan tarikh penting kepada nasib rakyat dan kelangsungan pembangunan negara kita. Bacaan kali ke-3 bagi RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 akan didengarkan dan diundi dalam Dewan Rakyat selepas melalui proses perbahasan di peringkat Jawatankuasa.
Belanjawan yang merangkumi peruntukan mengurus dan pembangunan ini sangat kritikal dalam situasi semasa di mana realitinya rakyat sangat terkesan dengan impak daripada pandemik COVID-19, di mana ia memberi kesan langsung kepada aktiviti ekonomi dan menjejaskan sumber pendapatan segenap lapisan masyarakat.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara telah menzahirkan keprihatinan Baginda terhadap keperluan supaya Belanjawan 2021 ini diluluskan melalui rakaman titah Baginda kepada seluruh Ahli Parlimen supaya menghentikan ‘politiking’ dan memberikan tumpuan penuh untuk bersama membantu negara melalui fasa getir pandemik ini.
Namun dibalik desakan mengutamakan rakyat, serta titah penuh keprihatinan oleh YDPA agar Belanjawan ini diluluskan, masih terdapat politikus gila kuasa yang masih ego membelakangkan titah YDPA dan kepentingan rakyat demi memenuhi kepentingan peribadi.
Masih ada politikus yang belum muak berpolitik dalam fasa genting ini. Pendirian PH untuk mengadakan undi belah bagi pada sesi pengundian Belanjawan 2021 adalah manifestasi jelas hasrat mereka untuk menguasai kerajaan tanpa menghiraukan kestabilan politik negara, ekonomi dan sosial yang masih dalam fasa pemulihan setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Pakatan Harapan terus terbukti gagal meyakinkan majoriti Ahli Parlimen untuk menolak Belanjawan kali ini, baik di peringkat dasar dan sepanjang perbahasan peringkat Jawatankuasa. Manakala, sidang media yang dibuat Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah pula hanyalah boleh disifatkan mencetuskan spekulasi negatif dan membuang masa rakyat semata-mata.
GAMIS melihat kepada implikasi besar sekiranya Belanjawan 2021 ditolak adalah sebarang usaha untuk kerajaan untuk membaik pulih sosioekonomi rakyat dan negara hampir mustahil untuk dilaksanakan kerana tiada majoriti untuk memastikan perkara tersebut diluluskan di Dewan Rakyat, sekali gus membawa kepada keadaan vakum dan ketidaktentuan situasi politik pastinya terus memburukkan keadaan dalam usaha negara kita yang sedang bergelut mengharungi pandemik.
Pilihan terakhir, Parlimen dibubarkan dan menyebabkan berlakunya pilihan raya dalam masa terdekat. Tapi sudahkan kita lupa apa yang berlaku setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilaksanakan? Tidak mustahil situasi akan berulang sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) dijalankan.
Maka demi kestabilan negara dan kebajikan rakyat, GAMIS menggesa dan menyeru pemimpin politik kerajaan dan pembangkang menyokong pembacaan Belanjawan 2021 yang akan dibacakan esok hari. Nasib negara bergantung kepada kalian, jangan dikecewakan harapan rakyat!
“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”
MOHD ZOFRIE ZULHILMIE RUSLEE
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020 – HARAKAHDAILY 15/12/2020











