
INDERA MAHKOTA: Pertubuhan Cakna Hal Ehwal Wanita (HELWA Care) Pahang dan Pertubuhan Pronita Pahang serta Skuad Bencana Negeri Pahang telah berkolaborasi menziarahi ibu muda, Syaidatul Noorazirah Saidin, 31, semalam.
Kunjungan tersebut untuk melihat sendiri kehidupannya bersama tiga anak iaitu Puteri Nur Adira Myazara Mohd Aliy, 5 dan Putera Mohd Nur Adam Al-Hajj Mohd Aliy, 2 serta Putera Mohd Tasnim Arash Ad-Dhuha Mohd Aliy, 4 bulan.
Pegawai Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Mohd Sazman Saratin turut bersama bagi merekodkan latarbelakang dan situasi keluarga yang tinggal di rumah pekerja di Kampung Selamat Pelabuhan Kuantan, di sini.
Syaidatul kini menyara keluarganya itu bergantung kepada hasil pendapatan menjaja jagung setelah diabaikan suami sejak empat bulan lalu tanpa nafkah zahir dan batin hingga menjadi tular di media sosial kesusahannya.
Hasil selidikan Pronita, suaminya kini menetap di Kuala Terengganu bersama anak-anak dan isteri pertamanya dengan mengaku mengalami masalah tidak bekerja dan tiada pendapatan untuk menyara mereka sekeluarga.
ADUN Beserah, Andansura Rabu yang hadir bersama telah menasihati Syaidatul agar bertabah dengan dugaan dialami dan terus mendekatkan diri kepada Allah dan menyayangi anak-anak beliau.
“Balang gas kami dicuri semalam. Duit dah ada ni sekejap lagi saya nak beli balang gas baru, nak masak untuk anak-anak,” ujar Syaidatul dalam kesayuan setelah menerima sumbangan disampaikan kepada beliau.
Pihak MUIP turut memasukkan beliau sebagai penerima bantuan bulanan berupa kupon untuk membeli barangan dapur dan wang saraan bulanan dari Pusat Zakat serta akan dicari rumah sewa yang selamat.
Hadir pada ziarah ini adalah Pengerusi HELWA Care, Salawati Saleh dan Pengerusi Pronita, Norbaini Abu Bakar dan wakil Skuad Bencana Pahang, Watydin Zaini serta Ahli Jawatankuasa JKKK Kampung Selamat, Aziz Manap. – HARAKAHDAILY 14/12/2020













