Ibu bapa role model bentuk kejayaan anak

- Advertisement -

MASJID TANAH : Ibu bapa sebenarnya adalah ‘role model‘ dalam pembentukan kejayaan anak-anak.

- Advertisement -

Oleh itu, ibu bapa harus bergerak seiring bersama guru-guru untuk menentukan kejayaan anak-anak agar menjadi manfaat di masa akan datang, kata Ahli Parlimen Masjid Tanah, Dato’ Wira Mas Ermieyati Samsudin.

“Jika jatuh ke laut menjadi pulau, jika jatuh ke darat akan menjadi gunung.

“Kita tidak mahu melihat anak-anak kita cerdik pandai menjadi doktor, guru, jurutera tetapi tidak melaksanakan suruhan Allah.

“Sayang jika Allah SWT kurniakan akal yang bijak tetapi tidak dimaksimakan dengan penghayatan kepada ilmu agama yang menjadi suruhan-Nya,” ujarnya.

Demikian katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian bagi Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2019 bagi Parlimen Masjid Tanah di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, pagi semalam.

Majlis diadakan bagi meraikan 203 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 8A dan 112 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 7A di dalam perperiksaan UPKK Sekolah-sekolah Rendah Agama JAIM bagi tahun 2019.

Kesemua 315 penerima anugerah menerima hadiah, sijil penghargaan dan wang tunai yang sebahagiannya dikreditkan ke dalam akaun SSPN pelajar.

Sementara itu, Adam Darwish Abdullah telah dianugerahkan sebagai pelajar terbaik perperiksaan UPKK tahun 2019 bagi seluruh Parlimen Masjid Tanah.

Adam, anak kepada pasangan Johari Md Seh dan Sabariah Maarof yang berasal dari Kampung Kuala Kati, Ayer Paabas adalah pelajar Sekolah Rendah Agama (JAIM) Ayer Paabas.

Beliau dipilih sebagai pelajar terbaik kerana memperolehi purata markah lapan subjek tertinggi antara semua pelajar Sekolah Rendah Agama (JAIM) di dalam Parlimen Masjid Tanah.

Beliau turut membawa pulang sebuah basikal, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM100 dan RM50 lagi pula dalam bentuk simpanan SSPN.

Anugerah disampaikan sendiri oleh Mas Ermieyati yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sementara itu Pengerusi Majlis Guru Besar Sekolah Rendah Agama JAIM Alor Gajah, Ustazah Shamsiah Zakariah mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah itu yang menurutnya tidak pernah gagal mengadakan majlis sebegini pada setiap tahun.

“Kami Majlis Guru Besar Daerah Alor Gajah mengucapkan tahniah kepada YB Mas dan mengharapkan ianya dapat dikekalkan pada masa-masa akan datang,” ujar beliau ketika ditemubual di dalam program itu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman yang turut hadir dalam majlis itu turut mengambil kesempatan itu mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar, ibu bapa dan juga kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah itu.

“Tahniah kepada pelajar-pelajar atas kejayaan mereka, atas susah payah mereka. Tahniah kepada ibu bapa yang juga sudah pasti turut membantu proses pembelajaran anak-anak mereka.

“Dan tahniah kepada YB Mas, sebab sepanjang pengetahuan saya setakat ini hanya Parlimen Masjid Tanah yang berjaya mengadakan majlis penghargaan untuk perperiksaan UPKK ini. Tahniah saya ucapkan,” ujar Ustaz Imran.

Turut hadir Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Nazri Ramli, Pegawai Tadbir Agama, Muhammad Mawardi Shafai mewakili Pengarah JAIM, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Ahmad Arif Ali, mewakili Pegawai Daerah Alor Gajah dan guru-guru Sekolah Rendah Agama JAIM di dalam Parlimen Masjid Tanah.

Mas Ermieyati dalam masa sama mewakili Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim memohon maaf kepada pihak sekolah kerana tidak dapat merasmikan majlis tersebut seperti yang dirancang memandangkan kesihatannya tidak mengizinkan.

“Dia janji dengan kita lain kali dia akan turun untuk bersama-sama dengan orang Masjid Tanah.

“Jadi kita sama-sama doakan agar beliau diberikan perlindungan,” doa beliau. – HARAKAHDAILY 13/12/2020

- Advertisement -