Serangan hawar padi terkawal – Pengerusi MADA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman memaklumkan bahawa Penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB) yang dilaporkan berlaku adalah berada dalam keadaan terkawal.

Setakat ini menurutnya, tinjauan mendapati serangan berada di peringkat awal seluas kurang dari satu hektar dan tidak merebak ke kawasan lain yang dikesan di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan C-I di Kampung Kubang Gajah, Kangar.

- Advertisement -

Jelas beliau, MADA dengan kerjasama Bahagian Bio Sekuriti Tanaman Jabatan Pertanian Perlis telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) pengawalan penyakit tersebut.

“Pihak MADA telah memagar kawasan yang sudah dijangkiti dan tak benarkan apa-apa jentera dan peralatan memasuki kawasan tersebut. Kami minta juga pesawah buat aduan jika tanaman mereka ada simptom dijangkit penyakit ini.

“Boleh berhubung Pegawai Pengembangan MADA dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat berkenaan penyakit ini,” ujar beliau.

Difahamkan, BPB merupakan ancaman terbaru bagi industri padi negara terutamanya sekali di Kawasan Muda di mana ia berpunca daripada bakteria bawaan tanah dan benih yang boleh ditemui sepanjang musim penanaman padi.

Serangan boleh dikenalpasti dan disahkan secara pengamatan atau simptom di sawah antaranya melibatkan perubahan warna bijirin, bulir dan bijirin tidak sekata, bulir tegak disebabkan padi tidak terisi dan warna keperangan.

SOP yang dijalankan melibatkan kuarantin, pemusnahkan sumber penyakit, semburan racun, pemotongan dan pembakaran, serta beberapa langkah lain dalam ketetapan MADA. – HARAKAHDAILY 11/12/2020

- Advertisement -