
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah berpendirian sememangnya perlu diadakan dasar dan garis panduan berkenaan mineral di negara ini untuk dipatuhi setiap negeri dan pelombong yang terlibat.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan perkara itu penting kerana galian bernilai tinggi yang wujud perlu diisytiharkan bagi perlombongan hasil dan penjualannya.
Menurut beliau, sehingga kini tiada perundangan berkaitan untuk dipatuhi, sekali gus bersetuju Majlis Mineral Negara diaktifkan semula bagi merangka dasar berkaitan untuk dipatuhi semua negeri.
“Mereka melombong benda lain, mereka declare benda lain. Ada orang ambil pasir, tapi sebenarnya dia ambil silika. Pasir, meterial dia murah, tapi silika hasil perlombongan itu, dia tak declare, tapi dia jual dengan harga yang mahal.
“Sama dengan REE (elemen nadir bumi), ada orang claim dia melombong tanah liat beralumina tinggi, dia lombong itu, dia bayar harga tanah. Tapi sebenarnya dia ekstrak REE. Banyak isu-isu ini berlaku sama ada kerajaan sedar, tak sedar.
“Tapi saya di Kedah, saya sedar dulu. Dan saya bangkitkan hal itu, kena ada dasar untuk perlombongan REE. Dan kita beri permit teroka tang mana ada.
“REE ini barang mahal untuk heavy REE ini dia boleh guna untuk persenjataan. Yang light punya dia guna untuk telekomunikasi,” ujarnya pada sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
Tambah beliau, negara ini mempunyai para saintis yang boleh memberi nasihat dan panduan termasuk menerusi Jabatan Mineral dan Galian di mana ia amat penting diberi perhatian kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Berkenaan dengan jumlah kekayaan daripada itu, kerajaan sebut RM4.11 trilion mineral yang belum diteroka. Saya tersilap titik perpuluhan, macam mantan Menteri Kewanganlah, RM43 trilion, sebenarnya RM4.3 trilion.
“(Ia) dalam kertas yang dibentangkan di Majlis Tanah Negara itu RM4.3 trilion. Saya tertinggal titik perpuluhan. Saya sebut RM43 trilion. Saya mohon maaf di atas kekhilafan tersebut.
“Saya tidak fikir dia mendatangkan kerugian ke siapa-siapa lah. Cuma dia menimbulkan “wakanda-wakanda” sajalah,” seloroh beliau menyindir kembali pihak yang menyindirnya. – HARAKAHDAILY 9/12/2020











