Dua pelan strategik galak belia sertai penternakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menyediakan dua pelan strategik utama bagi menggalakkan golongan belia untuk terlibat dengan industri penternakan.

Timbalan Menterinya, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata dua pelan strategik itu ialah Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara yang menggariskan 12 hala tuju dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara memiliki lapan hala tuju strategik.

- Advertisement -

Katanya, penglibatan belia amat digalakkan dalam program-program berkenaan.

“Antara program-program yang dilaksanakan di bawah pelan strategik ini ialah Program Pembangunan Industri Ruminan (PROPER) yang sehingga kini terdapat 10 peserta terdiri daripada golongan belia.

“Projek Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR) yang menggalakkan penglibatan pelaburan swasta dalam penternakan dengan menyediakan infrastruktur kandang di bawah Projek Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR) yang memberi fokus kepada pengusaha komersial dan semi komersial termasuk golongan belia.

“Projek Rintis Tenusu sehingga kini seramai 41 penyertaan dari golongan belia telah ditawarkan untuk program ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Dato’ Dr Hasan Bahrom [PH-Tampin] yang menanyakan tentang pelan tindakan strategik bagi menggalakkan golongan belia terlibat dengan industri penternakan.

Dalam masa yang sama, Che Abdullah berkata Program Agropreneur Muda turut diperkenalkan yang merangkumi sektor ternakan di samping sektor tanaman, perikanan dan industri makanan khusus kepada golongan belia.

“Skop ternakan adalah terbuka kepada hampir semua jenis projek ternakan baik ternakan ruminan seperti lembu, kambing dan bukan ruminan seperti ayam kampung, itik dan lain-lain unggas selain perkhidmatan sokongan dan input pertanian.

“Secara keseluruhan bagi sektor penternakan, seramai 1,259 orang agropreneur muda seluruh negara telah menerima kelulusan Geran Agropreneur Muda dari 1 Januari 2016 hingga 15 November 2020 yang berjumlah RM 26.3 juta,” katanya.

Tambahnya lagi, Program Geran Pemadanan Change Upgrade Product (CUP) dan Program Geran Pemadanan High Impact Product (HIP) yang diperkenalkan pada tahun 2014 bertujuan untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran usahawan Industri Makanan (IM) termasuk produk berasaskan daging yang juga boleh dimanfaatkan oleh usahawan-usahawan muda. – HARAKAHDAILY 9/12/2020

- Advertisement -