
KOTA BHARU: Polis Kelantan masih melakukan siasatan terhadap dua anggotanya yang dikatakan memaksa pasangan kekasih melakukan seks oral hubungan seks untuk dirakam.
Dua anggota terbabit berusia 31 dan 35 tahun berpangkat koperal dan lans koperal turut didakwa meminta sebanyak RM1,250 serta melakukan kekasaran terhadap salah seorang mangsa.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, kejadian yang berlaku pada jam 10.45 malam Jumaat lepas ketika dua anggota terbabit melakukan rondaan biasa.
“Ketika menjalankan tugas anggota kita terserempak dengan pasangan terbabit berusia dalam lingkungan 20-an berada dalam sebuah kereta berhenti di tepi jalan.
“Kereta ditahan oleh peronda dan pasangan berkenaan mendakwa mereka dipaksa untuk menyerah wang dan melakukan onani dalam kereta.
“Kita menahan dua anggota berkenaan selepas laporan polis dibuat pada 6 Disember lalu, dua hari selepas kejadian kedua-dua anggota ini dikenakan tahanan reman,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) di sini hari ini.
Shafien juga berkata polis menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 377c, Seksyen 354 dan Seksyen 384.
Menurutnya juga beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai dan anggota yang melakukan perbuatan jenayah dan kesalahan berhubung integriti.
“Siasatan dakwaan dibuat pengadu masih berjalan dan sebaik sahaja selesai siasatan kita akan serah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.
“Malah kedua-dua anggota terbabit menjalani ujian urin dan mendapati negatif,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/2020











