
AHAD pagi lepas, saya kesempatan berkunjung ke tapak jualan ‘car boot’ Kota Damansara. Jualan car boot yang berlangsung dari dinihari hingga 11 pagi itu mengumpulkan hampir 100 peniaga kecil yang datang dari seluruh pelosok kota, berkelana ke situ untuk menawarkan beraneka barangan. Saya lihat para peniaga tiba ke tapak dan gigih memunggah barangan dari boot kenderaan masing-masing untuk diperagakan kepada pengunjung yang berpusu-pusu pagi itu.
Pelbagai barang terpakai dan juga barangan baru ditawarkan untuk pengunjung: dari permainan kanak-kanak, kasut, baju, wangi-wangian, perkakas elektrik hinggalah peralatan joran dan cincin permata. ⠀⠀
Menurut Nizam, penganjur acara jualan ini, separuh daripada peniaga terlibat adalah ‘regular’ dan selebihnya hanya hadir sesekali atau berniaga secara sambilan. Apa yang menarik perhatian saya adalah mengetahui yang di kalangan mereka, ada yang bergerak dari acara ke acara sepanjang hari. Malah, khabarnya, ada peniaga yang datang terus dari ‘pasar karat’ berhampiran Chow Kit yang telah berakhir subuh tadi.⠀⠀
Sebagai penganjur Nizam bertanggungjawab mengutip yuran sebanyak RM20.00 daripada setiap peniaga untuk urusan mengaturkan permit dan hal ehwal tapak dengan majlis perbandaran. Usahawan seperti saudara Nizam memang membanggakan, bukan sahaja dia gigih berniaga tetapi usaha dia juga memanfaatkan peniaga-peniaga lain.⠀⠀
Saya kesempatan berkenalan dengan seorang peniaga bernama Zul (bukan nama sebenar). Gerai saudara Zul menarik pandangan saya kerana tersusun peralatan joran terpakai—ada berjenis joran, mata kail, rel dan umpan-umpan berwarna-warni.⠀⠀
Zul dahulunya bekerja sebagai pekerja khidmat pembersihan di sebuah syarikat penerbangan Antarabangsa tetapi telah diberhentikan kerja beberapa bulan lalu; beliau adalah antara beribu warga pekerja industri penerbangan yang terjejas akibat kemelesetan ekonomi sekarang ini.⠀⠀
Dalam hal ini, Zul tidak keseorangan. Saya juga bertembung dengan Rizal (juga bukan nama sebenar) yang bersama isterinya sibuk melayan pelanggan yang membelek-belek beg-beg tangan terpakai jualan mereka. Rizal bernasib baik kerana masih kekal pekerjaannya di divisyen kejuruteraan sebuah syarikat penerbangan, namun gajinya terpaksa dipotong oleh majikan.⠀⠀
Zul dan Rizal adalah beberapa contoh dari ramai lagi insan di Lembah Klang yang kini menduga nasib sebagai peniaga kecil-kecilan (mikro) kerana pendapatan asal mereka terjejas. Saya pasti kita semua ada kenalan atau saudara yang mengalami nasib sebegini. Secara peribadi, saya kagum dengan semangat mereka yang tidak berputus asa dan tidak menadah tangan menanti bantuan di kala musibah melanda, sebaliknya bangkit dengan idea dan keringat berniaga untuk mengatasi cabaran hidup. ⠀⠀
Tahun ini, dalam merangka pakej-pakej stimulus seperti PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN serta juga Belanjawan 2021, kerajaan telah padukan sokongan kepada perniagaan mikro, kecil dan sederhana. Ini penting kerana kelompok ini merangkumi lebih 98 peratus jumlah perniagaan di negara (menurut perangkaan SME Corp Malaysia, 2019). Jumlah perniagaan mikro, kecil dan sederhana dijangka melebihi 900,000, di mana hampir 90 peratus tertumpu dalam sektor perkhidmatan. ⠀⠀
Buat tahun 2020, lebih RM17 bilion disediakan untuk menyokong perniagaan mikro dan PKS. Ini termasuk dana yang disalurkan melalui beberapa program dan agensi termasuk Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional, TEKUN, MARA, MyCreative Ventures, Cendana dan lain-lain di mana setiap jenis perniagaan mendapat manfaatnya. ⠀⠀⠀
Adalah harapan saya yang peniaga seperti Zul dan Rizal akan terus mengembangkan perniagaan mereka, mungkin dari tapak-tapak sementara ke premis yang lebih tetap mahupun online. Mungkin juga meluaskan penceburan ke bisnes lain yang dapat menaikkan lagi pendapatan mereka. Apa-apa pun harapan saya adalah supaya mereka dapat memanfaatkan tabung-tabung keusahawanan yang disediakan kerajaan.⠀⠀
Bercakap mengenai peniaga mikro, saya amat bersyukur kerajaan tahun ini juga telah berjaya melaksanakan program Geran Khas Prihatin (GKP) dan program susulan GKP 2.0 yang memberi geran RM3,000 kepada peniaga mikro. Setakat November lalu, geran ini telah disalurkan kepada lebih 850,000 peniaga mikro seluruh negara dengan jumlah keseluruhan RM2.55 bilion. Untuk mereka di Sabah yang terkesan teruk dengan penularan COVID-19 kebelakangan ini, kerajaan juga meluluskan pemberian GKP khas untuk peniaga mikro di Negeri Bawah Bayu itu. ⠀⠀
Minggu ini pula, Bank Negara Malaysia telah mengingatkan rakyat mengenai adanya kemudahan Dana-dana Tambahan untuk PKS yang terjejas akibat COVID-19. Untuk rujukan pembaca, izinkan saya ‘kopipes’ beberapa ayat (copy paste) di sini:⠀⠀
(a) Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar Kemudahan – pinjaman bernilai RM2 bilion ini adalah untuk membantu PKS yang layak dalam sektor perkhidmatan. Pembiayaan bagi tujuan modal kerja sehingga RM500,000 untuk tempoh sehingga 7 tahun, termasuk moratorium sekurang-kurangnya selama 6 bulan. Kemudahan ini ditawarkan pada kadar sehingga 3.5 peratus setahun.⠀⠀
(b) Kemudahan Perusahaan Mikro (Micro Enterprises Facility, MEF) – Jumlah peruntukan bagi kemudahan ini adalah RM410 juta. Kemudahan MEF ini layak untuk perusahaan mikro yang merangkumi individu yang bekerja sendiri, pekerja sambilan (gig workers) yang menggunakan platform digital dan peserta program iTEKAD. Perusahaan mikro yang layak boleh mendapatkan pembiayaan untuk tujuan modal kerja dan perbelanjaan modal sehingga RM50,000. ⠀⠀
Nah, kalau mahu tahu lebih lanjut mengenai dua dana ini rajin-rajinlah ke Facebook BNM: [1]
Bila ada tohmahan yang mengatakan kerajaan tidak membantu golongan peniaga mikro dan PKS, saya harap para pembaca boleh menilai sendiri. Yang saya sebut adalah fakta, tetapi di luar sana masih ramai yang suka menjaja auta khasnya menuduh yang pejabat saya lebih cenderung membantu bank dan perusahaan besar. Sebenarnya, semua sektor perlu disokong kerajaan dan dibantu kerana kita semua terjejas kerana wabak COVID-19. Baik yang mikro, kecil, sederhana mahupun yang besar, semua memerlukan bantuan hadapi cabaran semasa ini.⠀⠀
Suasana pagi terasa makin hangat dan jam sudah menunjukkan hampir 11 pagi, maka saya pun mula mengorak langkah pulang. Dalam tangan membimbit beg berisi sebuah beberapa buah kereta mainan terpakai (tapi kualiti masih mantap!) untuk anak-anak saya, dan juga topi ‘baseball’ yang boleh saya pakai masa latihan larian. Saya juga sempat membeli sebentuk cincin yang dijual seorang pakcik berusia 70 tahun, beliau merupakan seorang pesara polis.⠀⠀
Memasuki kereta saya menghantar pesanan teks Whatsapp kepada Dato Nazri, ketua agensi LAKSANA, untuk menyediakan laporan terperinci mengenai tahap bantuan yang telah disalurkan kepada peniaga mikro dan PKS setakat minggu terkini. Sememangnya, pemantauan LAKSANA telah memberikan gambaran lebih tepat kepada kerajaan mengenai keberkesanan inisiatif-inisiatif yang telah diperkenalkan supaya kita dapat terus menambahbaik program rakyat di masa depan. ⠀⠀
Sebelum beransur, saya lihat beberapa peniaga sudah mula mengemas barangan jualan kembali memenuhi ruang kereta masing-masing, bersedia untuk ke tapak jualan yang berikutnya. Ada padang lain dan langit lain menanti kedatangan peniaga-peniaga ‘nomad’ ini yang gigih kembara dari daerah ke daerah demi mencari rezeki buat keluarga. Kita doakan semangat berniaga mereka tidak luntur dan terus meraih kemenangan!⠀⠀
“Teguh Kita, Menang Bersama”
TENGKU ZAFRUL AZIZ
Menteri Kewangan – HARAKAHDAILY 6/12/2020⠀⠀
Maklumat lanjut mengenai Car Boot Sale Kota Damansara: Facebook Car Boot Sales Kota Damansara
[1] https://www.facebook.com/83552599871/posts/10158870778834872/











