
KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) melalui Lajnah Kebajikannya menyampaikan sumbangan kepada Ustaz dan Ustazah di sekitar wilayah itu bagi mengurangkan beban mereka yang turut terkesan kebelakangan ini.
Sumbangan berbentuk kewangan RM100 itu disampaikan oleh Ketua DUPWP, Ustaz Md ALi Jamil kepada 26 penerima yang hadir di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini, hari ini.
Md Ali dalam ucapannya menyarankan supaya semua rakyat Malaysia mempertingkatkan kesabaran dan istiqamah sepanjang menghadapi ujian akibat daripada pandemik Covid-19 ini.
Beliau turut menyeru agar para jemaah Islam bersatu hati dengan ukhwah islamiyah supaya gerak kerja yang terbina mempunyai nilai moral ikhlas dan kasih sayang, ujarnya.
Sementara itu katanya, sumbangan kewangan setakat ini telah diterima sebanyak RM 5,900 untuk bantuan kepada para asatizah di sekitar Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, DUPWP akan terus menyalurkan sumbangan tersebut melalui program seterusnya kepda 33 para guru agama selewat-lewatnya 20 Disember melalui pemindahan transaksi ke akaun penerima.
Mengambil kesempatan itu, beliau mewakili DUPWP merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Lajnah Kebajikan Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan dan Pertubuhan Ummah Prihatin serta orang ramai atas sumbangan yang dihulurkan. – HARAKAHDAILY 6/12/2020











