
PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) melaksanakan Program Rumah Ibadat Hijau sebagai inisiatif melestarikan alam sekitar di peringkat komuniti.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata institusi masjid dan rumah ibadat yang terpilih menerusi program itu akan menjadi model institusi sosial yang cekap penggunaan tenaga, air dan pengurusan sisa buangan, rendah karbon, mesra alam sekitar serta mengaplikasikan teknologi hijau.
Program itu menekankan lima elemen utama iaitu jimat penggunaan tenaga elektrik, jimat penggunaan air terutama ketika berwuduk di masjid dan surau, kurangkan penjanaan sisa dan uruskan sisa buangan dengan teratur, menggalakkan pembelian dan penggunaan produk hijau serta menjana peluang ekonomi bagi aktiviti kitar semula, katanya.
“Agenda kelestarian alam sekitar seharusnya dititikberatkan oleh semua pihak dan saya menyeru semua sektor tidak kira awam atau swasta mencontohi dan merancang program yang memberi nilai positif kepada masyarakat setempat dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MGTC dengan RHB Islamic Bank Bhd bagi pelaksanaan Program Rumah Ibadat Hijau serta Sokongan Inisiatif Pertumbuhan Hijau, di sini hari ini.
Pada majlis itu, MGTC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Shamsul Bahar Mohd Nor manakala RHB Islamic Bank diwakili Pengarah Urusannya Datuk Adissadikin Ali.
Tuan Ibrahim berkata KASA telah mengatur semua agensi dan jabatan untuk memilih 12 rumah ibadat di lapan negeri untuk pelaksanaan awal program Rumah Ibadat Hijau itu, selain menyasarkan 100 Rumah Ibadat Hijau dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Sasaran ini menunjukkan bahawa projek pembudayaan dan sosialisasi gaya hidup hijau dalam kalangan masyarakat adalah serius dan mesti dilakukan dengan lebih sistematik,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata RHB Islamic Bank merupakan bank pertama yang menyatakan komitmen untuk berkolaborasi menerusi program itu.
“Saya mengalu-alukan pelbagai lagi syarikat korporat untuk turut membiayai inisiatif Rumah Ibadat Hijau ini khususnya melibatkan pemasangan Solar PV di bawah program NET Energy Metering. Sumbangan dana daripada sektor swasta akan melancarkan program ini,” katanya. – BERNAMA











