
ALOR SETAR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah yakin keupayaan anggota pasukan keselamatan yang terdiri daripada tentera dan polis mengawal sempadan negara.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sepanjang 100 kilometer sempadan antara Thailand dan Kedah terdapat beberapa spot yang dikawal rapi pasukan keselamatan.
“Selain itu kawasan sepanjang 15 kilometer yang mudah diseberangi melalui laluan darat. Manakala yang lain ada sungai dan bukit,” katanya selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Awal pagi semalam seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand maut dipercayai akibat ditembak.
Pada kejadian jam 3.10 pagi itu mangsa Koperal Baharuddin Ramli bertugas bersama seorang lagi anggota PGA Koperal Norihan A/L Tari yang mengalami kecederaan parah.
Sehubungan itu Menteri Besar merakam ucapan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharudin dan berharap Koperal Norihan segera sembuh. – HARAKAHDAILY 25/11/2020











