
KOTA BHARU: NGO Rakyat Ingin Malaysia Aman Sejahtera (Rimas) mengadakan perhimpunan aman bagi menyatakan sokongan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong yang meminta semua rakyat bersatu.
Rimas yang mempunyai lebih 100 ahli di seluruh Kelantan menolak keras perbuatan yang mendorong kepada ketidaktentuan politik yang hanya merugikan rakyat ketika Covid-19.
Pengerusi Rimas, Mohd Nizam Arifin berkata, pihaknya menyokong titah Yang di-Pertuan Agong yang meminta ahli politik berhenti bermain politik.
“Kami berharap persidangan Parlimen yang akan membentang Bajet 2021 bermula Isnin ini mendapat sokongan semua ahli-ahli parlimen.
“Bajet 2021 yang akan dibentang kerajaan diharap dapat membantu memulih ekonomi rakyat di musim Covid-19 sekarang,” katanya selepas menghadiri perhimpunan itu, di hadapan pejabat New Strait Times Press (NSTP), di sini, hari ini.
Pada kenyataan media hari ini Yang di-Pertuan Agong menasihat ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan wabak Covid-19.
Mohd Nizam juga berkata, persidangan parlimen bakal menampil solusi baharu kerajaan bagi menangani pandemik Covid-19 dan ekonomi negara.
“Kami juga meminta tuanku tidak membubarkan Dewan Rakyat dalam masa beberapa tahun ini sehingga penularan wabak Covid-19 ini dapat ditangani sepenuhnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/10/2020











