
TAMBUN: Seluruh ahli PAS hendaklah meyakini pimpinan tertinggi dalam membentuk kerjasama dengan mana-mana parti baik Umno mahupun BERSATU selaras mandat diberi Majlis Syura Ulamak kerana ia pasti membawa keuntungan untuk Islam.
Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said meneguhkan kepercayaan ahli di dalam Majlis Pelancaran Page PAS Zon Chemor dan penyerahan borang keahlian ahli PAS baharu di Kampung Seri Desa, di sini, kelmarin.
“Mereka nak kepada pendamaian. (Maka) kita bertawakal. Allah Taala suruh bertawakal sebab kita tak tahu hati manusia. Kalau mereka nak menipu biarlah Allah yang menguruskan. Kita tak percayakah Allah yang jaga kita?
“Selalu kita fikir perancangan kita (dan) perancangan musuh. Tapi kita lupa di tengah-tengah. Allah Taala (pun) merancang juga. Kata para ulamak, aku nak kamu nak, tapi Allah akan buat apa yang Dia nak. Maka hari ini kita perlu kembali kepada Allah,” tegasnya.
Terangnya lanjut, PAS sentiasa meletakkan sandaran dan hujah perjuangannya kepada Al-Quran yang menjadikan pemimpin dan ahli PAS sentiasa meyakini akan setiap strategi diambil tanpa ada rasa ragu dan gentar akan serangan musuh.
Hal sedemikian jelas beliau, kerana PAS amat mementingkan kemenangan yang hakiki di mana diraih dalam pilihan raya seiring redha Allah, sebaliknya jika tewas ia tetap diterima sebagai menang kerana mempertahankan prinsip perjuangan.
“Berjuang dengan PAS tetap menang. Kalah menang kita tetap rai dengan kenduri. Sebab tu dulu (kalah PRU) Umno hairan dengan kita sebab kita buat kenduri. Ini kerana kita meraikan ahli PAS yang menang mempertahankan prinsip PAS,” ulasnya.
Ustaz Salleh juga berpesan kepada setiap ahli baharu PAS agar bersedia memberikan sesuatu terhadap perjuangan PAS sama ada tenaga kerja, wang ringgit dan juga ketaatan terhadap pemimpin kerana PAS merupakan medan tarbiyah.
“Berjuang dengan PAS kita kena beri sesuatu. Kalau orang nak masuk dan cari benda (kepentingan) memang dia akan lari. Bila adanya kepentingan duniawi, sama ada dia lari atau dia ditapis keluar oleh Allah,” kongsinya.
Turut hadir di dalam majlis itu, Setiausaha PAS Tambun, Syed Mohd Norhisam Syed Hassan dan Ketua PAS Zon Perpaduan, Eddy Noor Abdul Manan serta Ketua PAS Zon Chemor, Ustaz Nordin Ahmad Sidek dan Ketua PAS Zon Meru, Ustaz Zabidi Zainal Abidin. – HARAKAHDAILY 25/8/2020












