Ipoh Timur lulus usul tanding Tebing Tinggi

- Advertisement -

IPOH TIMUR: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Ipoh Timur Kali Ke-22 yang berlangsung penuh semangat telah meluluskan sebulat suara usul bertanding DUN Tebing Tinggi pada majlis diadakan di Pengkalan Barat, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Ipoh Timur, Ustazah Hanisah Hamidun yang membentangkan usul tersebut menyatakan komitmen bahawa PAS akan menjadikan Islam sebagai solusi kepada masyarakat dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Malah, beliau turut menyebut mengenai kesediaan untuk bertanding itu telah diterjemahkan dengan kesungguhan gerak kerja PAS Ipoh Timur turun ke medan masyarakat secara menyeluruh dan memperkemaskan daftar pengundi secara agresif.

Terdahulu, Yang DiPertua PAS Ipoh Timur, Ustaz Azmi Murad dalam ucapannya turut menyatakan kesediaan sama, namun akur kepada sebarang keputusan pimpinan terutama melibatkan kerjasama dengan rakan permuafakatan dalam pertandingan PRU15 nanti.

Beliau dalam ucapannya juga menyentuh mengenai realiti masyarakat majmuk negara ini terdiri daripada kepelbagaian bangsa, etnik, budaya dan agama yang menuntut soal kehidupan bermasyarakat itu difahami oleh seluruh ahli PAS.

Justeru itu katanya, ahli PAS mesti menjayakan untuk parti ini dilihat sebuah wadah yang inklusif dan bukannya eksklusif, di mana membolehkan masyarakat mendekati dan bersama, selain membuka peluang untuk ramai berperanan, bukan kelompok tertentu sahaja.

Beliau juga menyeru supaya sentiasa menangani polemik politik semasa dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk sepanjang jalan serte memperkukuhkan tarbiyah sebagai tunjang kekuatan abnaul harakah. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -