
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor melantik 25 Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan semua dasar dan program yang dilaksanakannya sampai kepada masyarakat secara menyeluruh.
Katanya lantikan itu melibatkan 27 kawasan DUN, namun hanya 25 lantikan dibuat terlebih dahulu sementara baki dua lagi akan dibuat selepas calon yang sesuai dikenal pasti.
“Pelantikan penyelaras bagi kawasan DUN akan dapat membantu kerajaan memberikan segala penjelasan kepada masyarakat. Selain daripada tugas menyampaikan maklumat, mereka juga diberi peruntukan untuk menjayakan program lazim di peringkat masyarakat.
“Contohnya, jika berlaku banjir, kebakaran atau sebarang bentuk musibah, maka dengan adanya penyelaras ini bantuan dapat sampai dengan cepat dan tidak ada masyarakat terpinggir dan rasa dinafikan untuk terima bantuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Khas DUN, di sini hari ini.
Beliau juga berkata pengerusi jawatankuasa berkenaan juga akan bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan negeri bagi mendengar keluhan rakyat.
Menurutnya lantikan dibuat berdasarkan pengalaman dan keupayaan mereka untuk memikul tanggungjawab yang diberikan memandangkan pada ketika ini negara berdepan ancaman COVID-19 dan ramai yang terjejas dari segi ekonomi dan pendapatan. – BERNAMA











