KOTA BHARU: Sambutan Hari Belia Negara (HBN) diadakan 15 Mei setiap tahun merupakan tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap peranan golongan itu dalam pembangunan.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, situasi semasa yang semakin mencabar sekarang memerlukan perhatian khusus selain persediaan mampan.
Beliau berkata, asuhan dari dasar kerajaan negeri, ‘Membangun Bersama Islam’ (MBI) dan kini ‘Penghayatan MBI’ (PMBI) menjadi pemangkin utama membentuk generasi berkaliber.
“Di Kelantan, kita tidak pernah meminggirkan belia. Malah, sejak kecil lagi mereka telah dibentuk melalui dasar MBI dan kini terus diperkukuh lagi dengan Penghayatan MBI.
“Teruskan melangkah gagah mencipta kejayaan dalam apa jua bidang, demi mengangkat nama negeri Kelantan yang tercinta,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti meminta anak muda agar menelusuri kisah kehidupan tokoh Islam seperti Saidina Ali Abi Talib, Usamah Bin Zaid dan ramai lagi.
Beliau berkata sejarah membuktikan kemampuan anak muda pada zaman kegemilangan Islam menjadi tonggak perubahan hatta mampu mengoncang kuasa besar dunia pada ketika itu.
“Sejarah membuktikan bahawa anak muda adalah tonggak perubahan dan kejayaan. Lihatlah bagaimana Saidina Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid, Imam Syafie dan ramai lagi belia hebat.
“Mereka telah mencorak dunia dengan kepimpinan, ilmu dan keberanian mereka,” katanya dalam satu kenyataan mengenai HBN disambut dengan tema ‘Yakin Boleh’ pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 15/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!