‘Why did you choose PAS?’

- Advertisement -

INI antara soalan yang ditanyakan kepada saya oleh seorang pelajar dari sebuah universiti di United States yang dalam proses menyiapkan kajian untuk thesis PhDnya.

Saya jawab di sini buat rakan-rakan yang tertanya.

Sebagai seorang bekas Profesor dan Naib Canselor sebuah universiti, pilihan saya untuk bersama PAS bukanlah satu keputusan yang dibuat tanpa pertimbangan yang mendalam.

Ia adalah hasil dari pengamatan, penelitian dan pengalaman yang panjang dalam dunia akademik, kepimpinan dan pemerhatian terhadap perubahan landskap politik negara.

Sebagai seorang yang sangat mencintai agama dan bangsa, saya tidak boleh memandang ringan soal perjuangan untuk mempertahankan identiti Melayu dan Islam yang menjadi teras negara ini.

Sejak kecil, saya dididik dengan nilai-nilai agama yang kukuh dan semangat kebanggaan sebagai seorang Melayu. Prinsip-prinsip Islam menjadi panduan hidup saya, manakala sejarah perjuangan bangsa Melayu menjadi inspirasi dalam membentuk jati diri.

Sebagai seorang pendidik, saya melihat betapa pentingnya untuk memastikan generasi muda tidak terputus daripada akar budaya dan keimanan mereka. Namun, dalam beberapa dekad kebelakangan ini, saya menyaksikan bagaimana nilai-nilai ini semakin terhakis dalam arus kemodenan dan liberalisme.

Saya membesar dalam era di mana Umno adalah simbol kekuatan dan maruah Melayu. Namun, semakin saya dewasa, semakin jelas bahawa Umno telah terpesong dari landasan perjuangannya. Perjuangan Umno yang dahulunya berteraskan agama, bangsa dan tanah air kini tenggelam dalam kepentingan politik peribadi, kegadaian terhadap prinsip serta ketamakan segelintir pemimpin.

Saya memilih PAS kerana saya melihatnya sebagai sebuah parti yang masih teguh berpegang kepada prinsip Islam sebagai dasar perjuangan. PAS bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi satu gerakan dakwah dan pendidikan yang sentiasa komited dalam membangunkan masyarakat berdasarkan nilai-nilai Islam.

Kepimpinan PAS yang bersih, berintegriti dan istiqamah dalam mempertahankan prinsip agama dan bangsa telah membuktikan bahawa mereka layak menjadi peneraju perjuangan umat Melayu-Islam di Malaysia.

Sebagai seorang pendidik, saya amat menitikberatkan aspek pendidikan dan pembangunan insan. PAS melalui dasar pendidikan Islamnya sentiasa meletakkan pendidikan sebagai keutamaan, bukan sekadar untuk kejayaan duniawi tetapi juga sebagai persiapan untuk kehidupan akhirat.

Saya lihat bahawa PAS tidak menolak pembangunan, malah sentiasa memastikan pembangunan yang dirancang adalah bersifat seimbang antara pembangunan fizikal dan pembangunan insan. Di negeri-negeri di bawah PAS, projek-projek pembangunan dijalankan tanpa mengabaikan aspek kebajikan rakyat dan kelangsungan negeri.

Saya memahami bahawa kepimpinan yang baik adalah kepimpinan yang berprinsip, berintegriti dan bermaruah. Dalam PAS, saya melihat kepimpinan yang mencontohi prinsip-prinsip ini, dipimpin oleh para ulama dan profesional yang berpegang teguh kepada prinsip Islam. Mereka bukan sahaja bercakap mengenai integriti, tetapi membuktikannya melalui tindakan.

Saya memilih PAS bukan kerana benci kepada sesiapa, tetapi kerana cinta saya kepada bangsa dan agama. Saya percaya bahawa PAS adalah platform terbaik untuk saya terus menyumbang kepada masyarakat, bukan sahaja melalui pendidikan tetapi juga melalui usaha memperkasakan ummah.

Bersama PAS, saya yakin bahawa prinsip-prinsip Islam dan nilai-nilai Melayu akan terus terpelihara, dan masa depan generasi muda akan lebih terjamin.

Doakan saya istiqomah dalam perjuangan ini.

HAIM HILMAN ABDULLAH
8 Mei 2025 – HARAKAHDAILY 8/5/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -