Siapa yang mahu PH kembali berkuasa?

- Advertisement -

TUMBANGNYA Kerajaan PH secara tiba-tiba adalah sesuatu yang tidak dapat diterima pimpinan dan penyokongnya. Bermacam usaha dilakukan untuk mahu kembali berkuasa tetapi sehingga ke hari ini mereka gagal dan kekal di bangku pembangkang.

Bayangkan baru 22 bulan menjadi Menteri, Timbalan Menteri, punya pengawal, punya pemandu, punya kereta dan rumah kerajaan serba-serbi kemewahan tiba-tiba jatuh terlentang semuanya terlucut dari genggaman.

- Advertisement -

Pedih dan pastinya marah. Tidak kebah-kebah sehingga hari ini. Sejak tersungkur macam-macam serangan dilancarkan terhadap kerajaan baru, kerajaan pintu belakanglah, kerajaan tebuk atap dan kini kerajaan gagal. Seakan mereka itu diperlukan sangat oleh rakyat.

Malah hingga hari ini walaupun berbuih mulut mereka mentohmah dan menyerang tak pula kita dengar yang rakyat rindu pada mereka. Kembalikanlah Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, Teresa Menteri Komoditi, Mujahid Menteri Agama, Waythamorthy Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Geobind Menteri Komunikasi, Chin Tong Timbalan Menteri Pertahanan. Ada ke rakyat rindu dan mahukan mereka kembali berkuasa?

Rakyat bukan mahukan kerajaan baru apalagi PH yang didominasi DAP kembali memerintah. Yang mereka mahukan adalah pembelaan terhadap nasib mereka, kemajuan, hidup selesa dan aman. Rakyat bimbang dengan wabak yang melanda dan mahukan kerajaan segera memulihkan keadaan. Jika semua berjaya tidak ada sebab rakyat mahukan perubahan.

Tak pernah kita dengar rakyat mahu PH jadi kerajaan kembali apalagi Anwar sebagai Perdana Menteri kecuali dari mulut orang-orang PH. Teruskanlah bermimpi dan memalu gendang kosong.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 8/6/2021

- Advertisement -