Falsafah Islam: Tennemann vs Ibnu Sina

- Advertisement -

FAKTOR-faktor kemunculan Falsafah Islam

Falsafah Islam muncul disebabkan tiga perkara utama, iaitu:

a.     Manhaj al-Quran

b.     Percampuran Arab dan masyarakat luar

c.     Gerakan penterjemahan

(1)      Manhaj al Quran

Al-Quran sendiri penuh dengan bentuk-bentuk yang menggalakkan manusia supaya berfikir, dan mengembangkan pemikiran manusia. Maka, ia membentuk pemikiran falsafah, yang selari dengan prinsip pemikiran yang sebenar.

(a)     al-Quran menyuruh berfikir dan larangan taqlid:

- Advertisement -



فَٱنظُرۡ إِلَىٰۤ ءَاثَـٰرِ رَحۡمَتِ ٱللَّهِ كَیۡفَ یُحۡیِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَاۤۚ إِنَّ ذَ ٰ⁠لِكَ لَمُحۡیِ ٱلۡمَوۡتَىٰۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ قَدِیرࣱ

“Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Ia menghidupkan bumi sesudah matinya (dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur)”

(ar-Rum: 50)



أَفَلَا یَنظُرُونَ إِلَى ٱلۡإِبِلِ كَیۡفَ خُلِقَتۡ (17) وَإِلَى ٱلسَّمَاۤءِ كَیۡفَ رُفِعَتۡ (18) وَإِلَى ٱلۡجِبَالِ كَیۡفَ نُصِبَتۡ (19) وَإِلَى ٱلۡأَرۡضِ كَیۡفَ سُطِحَتۡ (20)@

“(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?”

(al-Ghasyiah: 17-20)


(b)     Al-Quran menjawab beberapa persoalan:


وَیَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنۡ أَمۡرِ رَبِّی وَمَاۤ أُوتِیتُم مِّنَ ٱلۡعِلۡمِ إِلَّا قَلِیلࣰا

Dan mereka bertanya kepadamu mengenai roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.

(al-Isra: 85)



(2)     Percampuran masyarakat Arab dan masyarakat luar

Faktor kedua ialah percampuran masyarakat Arab dengan masyarakat bukan Arab. Antaranya:

(a)     Pengaruh Parsi dalam pemikiran Syi’ah terhadap Saidina Ali K.W yang melahirkan golongan pelampau. Maka muncul Muktazilah untuk menolak segala dakwaan tersebut dengan menggunakan falsafah dan pemikiran.

(b)     Kemunculan Zoroastrianism, Manism Mazdakism dan sebagainya pada akhir Khilafah Umawiyah dan Abbasiah. Maka, timbullah gerakan yang berusaha untuk menolak segala dakwaan batil golongan-golongan sesat ini.

(3)     Gerakan penterjemahan

(a)     Mula muncul pada zaman Umawiyah, tetapi agak kurang. Ia semakin berkembang pada zaman Abbasiah, ketika khilafah Abu Ja’far al Mansur.

(b)     Pada zaman Khalifah Ma’mun, beliau mengembangkan lagi gerakan penterjemahan ini dengan menubuhkan Darul Hikmah, yang telah diletakkan di bawah kelolaan Hunain bin Ishaq, yang terkenal dengan pengetahuan thaqafah luar.

(c)     Antara penterjemah yang masyhur, Ibnu al Muqaffa’, Hunain bin Ishaq, Abul Bisyr Mata bin Yusof dan lain-lain.

(d)     Menterjemah kitab-kitab dalam bahasa lain, terutamanya Bahasa Yunan, ke dalam Bahasa Arab. Antaranya kitab perubatan, ilmu falak, sains, matematik, dan karangan-karangan Plato dan Aristotle.

Beberapa faktor berkembangnya gerakan penterjemahan ini, ialah:

(a)     Berlakunya perdebatan atau perbincangan akidah di antara Islam dan agama-agama lain.

(b)     Keinginan dan minat Khulafa’ pada zaman tersebut, terhadap ilmu pengetahuan luar. Antaranya Khalid bin Yazid pernah disuruh berhenti daripada aktif dalam bidang politik, supaya menumpukan dalam bidang kajian kimia.

(c)     Tersebarnya gerakan-gerakan pemikiran yang didahului oleh Muktazilah, yang membina akidah di atas asas-asas pemikiran

Falsafah di antara ketulenan dan taqlid

Di dalam bab ini, mengkaji mengenai Falsafah Islam dari aspek ketulenannya, mahupun peniruannya terhadap falsafah atau pemikiran-pemikiran luar semata-mata. Maka, di dalam memahami mengenai perkara ini, kita perlu mengetahui terlebih dahulu asal usul falsafah.

(1)     Asal-usul falsafah

Di sana terdapat dua pandangan dalam meletakkan asal-usul falsafah. Ia berkaitan dengan tajuk ini, bagi memahami sama ada Falsafah Islam itu hanyalah taqlid dengan Yunan, atau ia mempunyai keasliannya tersendiri.

(a)     Pandangan pertama

Pandangan pertama mengatakan bahawa Falsafah secara umumnya bermula dari Yunan. Golongan ini boleh dikatakan agak ‘taksub’, sama ada taksub agama ataupun taksub jenis.

(i)     Taksub Agama

Wilhelm Gottlieb Tennemann (1761-1819) berkata bahawa Falsafah Islam yang dipegang oleh Masyarakat Arab banyak terpengaruh dengan Agama Nabi Muhammad S.A.W, yang menggabungkan di antara nafsu dan akal.

Tinman telah mendakwa empat perkara terhadap Islam:

•      Kitab suci mereka (al Quran) menyekat pemikiran secara bebas

•     Ahlus Sunnah adalah golongan yang hanya berpegang dengan nas-nas

•     Mereka (Islam) banyak mencedok pemikiran Aristotle, sedangkan mereka tidak memahami alirannya (Aristotle) yang sebenar

•     Tabiat mereka yang bersifat Nasionalisme dan lebih cenderung kepada keraguan

Keempat-empat keraguan ini akan dijawab di dalam tajuk ‘Falsafah Di Dalam al Quran dan Menjawab Dakwaan Tennemann’ selepas ini.

Kesimpulannya, Tennemann mendakwa bahawa Falsafah Islam tercemar keasliannya, dan banyak bertaqlid dengan Aristotle

(ii)     Taksub jenis

Arenst Renan cuba menimbulkan spekulasi yang berkisar terhadap dua golongan, iaitu:

•     Aria: Satu kabilah yang hidup di Afghanistan sekitar 2000 SM, kemudian bermigrasi ke India. Beliau menisbahkan bahawa Eropah ini berasal daripada Kabilah Aria ini.

•     Sami: Satu kabilah yang dinisbahkan kepada Sam bin Nuh A.S, yang menetap di Mesir, Syam dan Timur Tengah.

Beliau menyifatkan bahawa Kabilah Sami tidak berhak untuk mencanangkan pemikiran disebabkan mereka ketinggalan berbanding kabilah Aria. Bahkan Sami ini dikatakan tidak mempunyai kecerdikan dan tidak berkemampuan untuk memajukan manusia.

Beliau menisbah Kabilah Sami ini sebagai Arab, manakala Aria dinisbahkan sebagai Eropah. Maka, beliau boleh dikatakan sebagai ‘taksub jenis’.

Kesimpulannya, pandangan pertama ini menafikan keaslian Falsafah Islam, dan rendahnya nilai pemikiran masyarakat Arab, yang dinisbahkan kepada Islam.

(b)     Pandangan kedua

Pandangan kedua mengatakan bahawa falsafah mula muncul di Timur, lebih awal daripada Yunan. Perkara ini telah disebutkan oleh sejarawan yang bernama Deogen La Ares yang hidup pada kurun ke 3 SM. Selain itu, ia juga diakui oleh Max Weber (1864-1920) daripada Jerman.

Ia berdasarkan bukti bahawa Thales Of  Miletus (ahli Falsafah Pertama Yunan), Phythagoras dan Plato pernah datang berkunjung ke Timur Kuno, untuk mencedok falsafah di Timur.

Contohnya Thales mengatakan bahawa alam ini tercipta daripada air, dan pemikiran ini jugalah yang dipegang oleh golongan Kaldani yang lebih dahulu berpegang dengannya.

Kesimpulannya, falsafah sudah muncul di Timur terlebih dahulu. Manakala Falsafah Yunan adalah falsafah yang mula-mula tersusun dengan manhaj dan pemikiran. Ini kerana falsafah yang muncul di Timur, tidak tersusun, dan tidak bermanhaj dengan manhaj yang khusus.

Falsafah di dalam al-Quran

Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini, Tinman telah mendakwa 4 dakwaan terhadap Falsafah Islam. Dakwaan yang pertama ialah mengatakan bahawa al-Quran menyekat pemikiran manusia daripada bebas berfikir. Maka, di dalam bab ini, akan menolak dakwaan pertama beliau.

(1)     Kemanusiaan di dalam al-Quran

(a)     Antara 3 perkara utama yang menceritakan mengenai Falsafah Kemanusiaan ialah:

•     Suruhan supaya berfikir:


أَفَلَمۡ یَنظُرُوۤا۟ إِلَى ٱلسَّمَاۤءِ فَوۡقَهُمۡ كَیۡفَ بَنَیۡنَـٰهَا وَزَیَّنَّـٰهَا وَمَا لَهَا مِن فُرُوجࣲ (6) وَٱلۡأَرۡضَ مَدَدۡنَـٰهَا وَأَلۡقَیۡنَا فِیهَا رَوَ ٰ⁠سِیَ وَأَنۢبَتۡنَا فِیهَا مِن كُلِّ زَوۡجِۭ بَهِیجࣲ (7)

“(Kalaulah mereka menyangka Kami tidak berkuasa mengembalikan mereka hidup semula) maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka (dengan tidak bertiang) bagaimana Kami membinanya (dengan rapi) serta Kami menghiasinya (dengan bintang-bintang), dan dengan keadaan tidak ada padanya retak-renggang? Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur?”

(Qaf: 6-7)



•      Larangan daripada tidak berfikir:



وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبࣱ لَّا یَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡیُنࣱ لَّا یُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانࣱ لَّا یَسۡمَعُونَ بِهَاۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

(al-A’raf: 179)




•     Suruhan menggunakan hati, deria dan akal:



ثُمَّ سَوَّىٰهُ وَنَفَخَ فِیهِ مِن رُّوحِهِۦۖ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَۚ قَلِیلࣰا مَّا تَشۡكُرُونَ

“Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: Roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”

(as-Sajdah: 9)



(b)     Selain itu, terdapat 4 perkara yang disebut oleh Allah S.W.T supaya manusia sendiri mengenali diri mereka yang sebenar-benarnya.

•     Allah S.W.T Pencipta segala makhluk:



ذَ ٰ⁠لِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمۡۖ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَۖ خَـٰلِقُ كُلِّ شَیۡءࣲ فَٱعۡبُدُوهُۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ وَكِیلࣱ

“Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.”

(al-An’am: 102)



•     Manusia adalah di antara makhluk ciptaan Allah S.W.T:



لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِیۤ أَحۡسَنِ تَقۡوِیمࣲ

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”

(at-Tin: 4)



•     Allah S.W.T mengetahui alam ghaib, dan semua yang berlaku:




۞ وَعِندَهُۥ مَفَاتِحُ ٱلۡغَیۡبِ لَا یَعۡلَمُهَاۤ إِلَّا هُوَۚ وَیَعۡلَمُ مَا فِی ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِۚ وَمَا تَسۡقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا یَعۡلَمُهَا وَلَا حَبَّةࣲ فِی ظُلُمَـٰتِ ٱلۡأَرۡضِ وَلَا رَطۡبࣲ وَلَا یَابِسٍ إِلَّا فِی كِتَـٰبࣲ مُّبِینࣲ

“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.”

(al-An’am: 59)



•     Allah S.W.T mampu untuk melakukan mengikut kehendakNya:



إِنَّمَاۤ أَمۡرُهُۥۤ إِذَاۤ أَرَادَ شَیۡـًٔا أَن یَقُولَ لَهُۥ كُن فَیَكُونُ

“Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ”Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.”

(Yasin: 82)



(c)     Terdapat dua jenis makrifah yang Allah S.W.T ingin ajar manusia mengenai falsafah kemanusiaan ialah:

•     Mengenali alam sekeliling dan menggunakan deria dan kajian untuk mengenalinya

•     Mengenali alam ghaib dengan menggunakan sumber daripada wahyu

(2)     Penciptaan di dalam al-Quran

(a)     Terdapat dua asas utama di dalam al-Quran yang menceritakan mengenai falsafah penciptaan, iaitu:

•     Pada makhluk:



فَلۡیَنظُرِ ٱلۡإِنسَـٰنُ مِمَّ خُلِقَ ۝  خُلِقَ مِن مَّاۤءࣲ دَافِقࣲ ۝  یَخۡرُجُ مِنۢ بَیۡنِ ٱلصُّلۡبِ وَٱلتَّرَاۤىِٕبِ ۝  إِنَّهُۥ عَلَىٰ رَجۡعِهِۦ لَقَادِرࣱ

“(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) – Yang keluar dari “tulang sulbi” lelaki dan “tulang dada” perempuan. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati)”

(at-Tariq: 5-8)



•     Pada sistem:



إِنَّ فِی خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّیۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِی تَجۡرِی فِی ٱلۡبَحۡرِ بِمَا یَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَاۤءِ مِن مَّاۤءࣲ فَأَحۡیَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَبَثَّ فِیهَا مِن كُلِّ دَاۤبَّةࣲ وَتَصۡرِیفِ ٱلرِّیَـٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَیۡنَ ٱلسَّمَاۤءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّقَوۡمࣲ یَعۡقِلُونَ

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.”

(al-Baqarah: 164)



(b)     Selain itu, di dalam al-Quran menggunakan dua manhaj dalam menceritakan mengenai Falsafah Penciptaan ini, iaitu:

•     Menceritakan mengenai sokongan hidup terhadap manusia, dan semua ciptaan dicipta adalah untuk kehidupan manusia.

•     Menceritakan mengenai keajaiban ciptaanNya, dari aspek kehidupan, pengetahuan, dan sebagainya. Bertujuan menunjukkan kehebatan Allah S.W.T.

(c)     Daripada dua manhaj ini, Allah S.W.T mengeluarkan 3 jenis dalil untuk menceritakan mengenai Falsafah Penciptaan ini, iaitu:

•     Dalil memberi sokongan hidup pada manusia:



أَلَمۡ نَجۡعَلِ ٱلۡأَرۡضَ مِهَـٰدࣰا ۝  وَٱلۡجِبَالَ أَوۡتَادࣰا ۝  وَخَلَقۡنَـٰكُمۡ أَزۡوَ ٰ⁠جࣰا ۝  وَجَعَلۡنَا نَوۡمَكُمۡ سُبَاتࣰا ۝  وَجَعَلۡنَا ٱلَّیۡلَ لِبَاسࣰا ۝  وَجَعَلۡنَا ٱلنَّهَارَ مَعَاشࣰا ۝  وَبَنَیۡنَا فَوۡقَكُمۡ سَبۡعࣰا شِدَادࣰا ۝  وَجَعَلۡنَا سِرَاجࣰا وَهَّاجࣰا ۝  وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡمُعۡصِرَ ٰ⁠تِ مَاۤءࣰ ثَجَّاجࣰا ۝  لِّنُخۡرِجَ بِهِۦ حَبࣰّا وَنَبَاتࣰا ۝  وَجَنَّـٰتٍ أَلۡفَافًا

“(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki? Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh? Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, – Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?”

(an-Naba: 6-16)



•     Dalil menceritakan mengenai keajaiban ciptaan Allah:



یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ ضُرِبَ مَثَلࣱ فَٱسۡتَمِعُوا۟ لَهُۥۤۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَن یَخۡلُقُوا۟ ذُبَابࣰا وَلَوِ ٱجۡتَمَعُوا۟ لَهُۥۖ وَإِن یَسۡلُبۡهُمُ ٱلذُّبَابُ شَیۡـࣰٔا لَّا یَسۡتَنقِذُوهُ مِنۡهُۚ ضَعُفَ ٱلطَّالِبُ وَٱلۡمَطۡلُوبُ

“Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).”

(al-Hajj: 73)



•     Dalil yang menggabungkan dua aspek ini:



یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِی خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ۝  ٱلَّذِی جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَ ٰ⁠شࣰا وَٱلسَّمَاۤءَ بِنَاۤءࣰ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَاۤءِ مَاۤءࣰ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَ ٰ⁠تِ رِزۡقࣰا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُوا۟ لِلَّهِ أَندَادࣰا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).”

(al-Baqarah: 21-22)



(3)     Ketuhanan di dalam al-Quran

Di dalam memahami konteks ketuhanan yang diajar oleh Allah S.W.T, ia berpaksi kepada mengenal Tuhan, sepertimana firman Allah S.W.T:



وَلَىِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضَ لَیَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ ٱلۡعَزِیزُ ٱلۡعَلِیمُ

“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.”

(az-Zukhruf: 9)



Daripada ayat ini, kita boleh memahami bahawa al-Quran menanam pemikiran yang bersih dan tepat dalam memahami konsep keTuhanan yang sebenar.

(a) Al-Quran mengajar manusia berfikir secara betul, dengan mengatakan bahawa Tuhan itu satu. Ia menggunakan dua dalil, iaitu:

•     Sekiranya terdapat dua atau lebih tuhan, maka akan menyebabkan kecelaruan dan kerosakan pada keseluruhan alam:



لَوۡ كَانَ فِیهِمَاۤ ءَالِهَةٌ إِلَّا ٱللَّهُ لَفَسَدَتَاۚ فَسُبۡحَـٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلۡعَرۡشِ عَمَّا یَصِفُونَ

“Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.”

(al-Anbiya: 22)



•     Menafikan ketuhanan selain daripada Allah S.W.T, dengan memperlihatkan kelemahan pada makhluk-makhlukNya:



یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ ضُرِبَ مَثَلࣱ فَٱسۡتَمِعُوا۟ لَهُۥۤۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَن یَخۡلُقُوا۟ ذُبَابࣰا وَلَوِ ٱجۡتَمَعُوا۟ لَهُۥۖ وَإِن یَسۡلُبۡهُمُ ٱلذُّبَابُ شَیۡـࣰٔا لَّا یَسۡتَنقِذُوهُ مِنۡهُۚ ضَعُفَ ٱلطَّالِبُ وَٱلۡمَطۡلُوبُ

“Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).”

(al-Hajj: 73)



(b)     Di dalam al-Quran membuktikan kewujudan Allah S.W.T dalam banyak aspek, antara 3 aspek tersebut ialah:

•    Aspek sejarah

Golongan Yunan berpegang bahawa di sana terdapat tuhan baik, dan tuhan jahat. Maka al Quran menafikan perkara tersebut:



وَإِن تُطِعۡ أَكۡثَرَ مَن فِی ٱلۡأَرۡضِ یُضِلُّوكَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۚ إِن یَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنۡ هُمۡ إِلَّا یَخۡرُصُونَ

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.

(al-An’am: 116)



•     Aspek penciptaan manusia dan makhluk

Allah S.W.T menekankan di dalam al-Quran supaya manusia berpegang dengan Akidah yang sebenar, dan syariatNya:



ءَامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَأَنفِقُوا۟ مِمَّا جَعَلَكُم مُّسۡتَخۡلَفِینَ فِیهِۖ فَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمۡ وَأَنفَقُوا۟ لَهُمۡ أَجۡرࣱ كَبِیرࣱ

“Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.”

(al-Hadid: 7)



•     Aspek falsafah dan pemikiran

Antara ayat yang sesuai untuk menterjemahkan konsep keTuhanan dalam falsafah ialah:



أَمۡ خُلِقُوا۟ مِنۡ غَیۡرِ شَیۡءٍ أَمۡ هُمُ ٱلۡخَـٰلِقُونَ

“Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?”

(at-Tur: 35)



Daripada ayat ini, terdapat tiga natijah:

•     Mereka dicipta tanpa pencipta

•     Mereka dicipta oleh diri mereka sendiri

•    Mereka dicipta oleh Tuhan yang bukan dari kalangan makhluk

Item pertama tertolak kerana ia tidak boleh diterima akal. Manakala item kedua juga tertolak kerana mustahil manusia boleh mewujudkan dirinya sendiri. Maka, item yang sepatutnya adalah item ketiga, yang membuktikan kewujudan Allah.

(c)     Allah S.W.T menggunakan dua konsep untuk menceritakan mengenai keTuhanan di dalam al-Quran, iaitu

•     Menyanggah pemikiran yang songsang, ikutan hawa nafsu, mentaati si jahil, taqlid buta dan sebagainya.

•     Menyemai dan menanam konsep pemikiran mengenai keTuhanan yang sebenar melalui pelbagai bentuk yang telah disebut sebelum ini.

Kesimpulan daripada Bab Ketiga ini, menolak dakwaan pertama Tennemann, yang mengatakan bahawa al-Quran menyekat kebebasan manusia untuk berfikir. Perkara ini bercanggah dengan jelas daripada manhaj al-Quran yang sebenar, yang telah dijelaskan panjang lebar.

Menjawab dakwaan Tennemann

Sebelum ini, bab ketiga telah menceritakan mengenai falsafah di dalam al-Quran, seterusnya menolak dakwaan pertama Tennemann yang mengatakan al-Quran menyekat manusia daripada berfikir.

(1)     Dakwaan pertama

Dakwaan pertama telah dijawab di dalam Bab Ketiga (sebelum ini). Dakwaan Tennemann yang selebihnya ialah:

(a)     Ahlus Sunnah adalah golongan yang hanya berpegang dengan nas-nas

(b)     Mereka (Islam) banyak mencedok pemikiran Aristotle, sedangkan mereka tidak memahami alirannya (Aristotle) yang sebenar

(c)     Tabiat mereka yang bersifat nasionalisme dan lebih cenderung kepada keraguan

(2)     Dakwaan kedua

Di dalam item (a) merupakan dakwaan kedua yang dibuat oleh Tennemann terhadap Falsafah Islam. Tennemann mengatakan bahawa, disebabkan Ahlus Sunnah begitu berpegang dengan nas-nas, maka mereka menolak sebarang pemikiran, dan menyekat perkembangan Falsafah Islam.

Antara hujah untuk menafikan dakwaan ini ialah:

1.     Telah disebut sebelum ini, nas-nas al-Quran yang dipegang oleh Ahlus Sunnah itu sendiri menggalakkan manusia supaya berfikir. Maka, di sana akan wujud golongan pemikir Islam, yang berpegang dengan nas-nas al Quran, sepertimana firmanNya:



إِنَّ فِی خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّیۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِ ۝  ٱلَّذِینَ یَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِیَـٰمࣰا وَقُعُودࣰا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَیَتَفَكَّرُونَ فِی خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلࣰا سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّار

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

(Ali-Imran: 190-191)



2.     Al-Quran bukanlah menceritakan sesuatu yang dongengan kosong, atau hikayat-hikayat, bukan juga buku-buku falsafah, akan tetapi al-Quran adalah Kalam Allah yang merupakan perlembagaan bagi manusia:



إِنَّ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ یَهۡدِی لِلَّتِی هِیَ أَقۡوَمُ وَیُبَشِّرُ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ ٱلَّذِینَ یَعۡمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرࣰا كَبِیرࣰا

“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

(al-Isra: 9)



3.     Nas-nas yang dipegang oleh Ahlus Sunnah begitu meninggikan kedudukan akal manusia, sehinggakan mereka yang tidak menggunakannya atau menggunakan dengan cara salah, disifatkan seperti binatang:



وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبࣱ لَّا یَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡیُنࣱ لَّا یُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانࣱ لَّا یَسۡمَعُونَ بِهَاۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

(al-A’raf: 179)



(3)     Dakwaan ketiga dan keempat

Dakwaan ketiga dan keempat yang disebut di dalam item (c) dan (d) menafikan ketulenan dan keaslian Falsafah Islam. Tennemann menyifatkan bahawa Falsafah Islam banyak meniru Aristotle, dan dicemari dengan pemikiran taksub bangsa (Nasionalism).

Antara hujah yang sesuai untuk menafikan perkara ini ialah:

1.     Nasionalisme didukungi oleh golongan-golongan tertentu, dan ia bercanggah dengan Islam. Bahkan bukan Bangsa Arab sahaja yang bersifat demikian, bangsa-bangsa lain turut taksub dengan bangsa mereka. Tetapi Islam menolak dan menafikan pemikiran Nasionalisme ini.

2.     Islam menerima pemikiran yang tidak bercanggah dengannya, walaupun ia dihasilkan oleh bukan Islam. Falsafah Islam berpaksikan kepada al-Quran dan Hadis. Beberapa pemikiran Yunan yang bercanggah, ditolak. Contohnya seperti pegangan mengatakan bahawa di sana terdapat dua tuhan, iaitu tuhan baik, dan tuhan jahat.

3.     Manhaj Falsafah Islam tidak sama dengan Manhaj Aristotle secara umumnya. Ini kerana Falsafah Islam mendahulukan al-Quran dan Hadis, kemudian mencari keserasian dan keselarian dengan akal. Agama yang shahih, tidak akan bercanggah dengan akal yang betul.

4.     Islam menggalakkan umatnya merantau dan mencedok pemikiran masyarakat berbilang bangsa dan budaya. Tetapi tidak bermakna menggadaikan Akidah Islam yang dipegang.

5.     Islam menggalakkan umatnya memperbanyakkan pemahaman bahasa yang pelbagai. Jelas menunjukkan bahawa Islam tidak bersifat Nasionalism, mahupun mengongkong daripada mempelajari dan memahami bahasa masyarakat seluruh dunia.

Kesimpulan di sini, Falsafah Islam mempunyai ketulenannya yang khusus, iaitu pegangan bahawa Tuhan itu satu, Allah S.W.T, yang tiada syirik bagiNya. Dia tidak beranak mahupun diperanakkan, sempurna dengan semua sifat kesempurnaan, dan bersih daripada sebarang sifat kekurangan. Inilah ketulenan Falsafah Islam.

Kitab Asy Syifa karangan Ibnu Sina menafikan dakwaan

Sebelum ini kita telah membincangkan beberapa dakwaan terhadap Islam. Bukan hanya Tennemann sahaja yang melemparkan tuduhan kesat, bahkan terdapat beberapa tokoh lagi yang turut berpandangan pesong terhadap Falsafah Islam.

Hakikatnya, Ibnu Sina telah menafikan segala dakwaan tersebut dengan terhasilnya sebuah kitab karangan beliau yang bertajuk Asy Syifa’, yang menghimpunkan pemikiran-pemikiran Falsafah Yunan dan Falsafah Islam.

Asy Syifa’ terbahagi kepada 4 bahagian utama:

(a)     Ilmu Mantiq

(b)    Ilmu Tabiat

(c)     Ilmu Matematik

(d)     Ilmu KeTuhanan

Apa yang boleh disimpulkan daripada kitab beliau, jelas membuktikan bahawa di sana terdapat ketulenan dan keaslian pada Falsafah Islam. Beliau menukilkan beberapa teori-teori Eropah dan Yunan, kemudian mengulaskan mengikut perspektif Islam yang lebih syumul.

Kesimpulan daripada ulasan mengenai kitab beliau dan falsafah Islam, boleh diringkaskan di dalam 3 isi di bawah :

1.     Mantik

Beliau telah membuat susunan baru bagi Ilmu Mantik yang telah dihasilkan oleh Aristotle. Banyak perkara-perkara baru yang tidak terlintas pada pemikiran ahli falsafah Yunan, dimasukkan dan dihasilkan mengikut susunan yang baru.

2.     Falsafah

Ibnu Sina dilihat cuba menyatukan di antara Falsafah dan Ilmu, Falsafah dan Agama dan menyatukan pemikiran-pemikiran supaya selari dan tersusun. Beliau juga mencari keselarian di antara Falsafah Yunan dan Falsafah Islam dalam menyelesaikan beberapa persoalan falsafah.

Selain itu, di sana terdapat keselarian di antara al Farabi, Plato dan Aristotle. Juga terdapat persamaan dan keselarian di antara Ibnu Rusyd dan Ibnu Sina, dan sebagainya.

3.     Kritikan

Imam al Ghazali telah menghasilkan kitab Tahafut al Falasifah yang mengkritik beberapa Falsafah Aristotle. Begitu juga Abu Ali al Juba’i yang menulis sebuah kitab untuk menolak pemikiran Aristotle.

Bahkan banyak kitab-kitab hasilan ahli Falsafah Islam dalam menolak dakwaan pemikiran-pemikiran Falsafah yang bercanggah dengan Islam, seperti Immuel Kant, John Sarter dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 10/11/2019

- Advertisement -