Anggota Amal turun lapangan bantu mangsa banjir Selangor

- Advertisement -

BANJIR ini sudah sinonim dengan Jabatan Amal Malaysia, di mana sahaja berlaku banjir sudah pasti kelihatan kelibat anak muda berbaju Maroon ini hadir membantu mangsa tidak kira bangsa, agama mahupun ideologi politik mereka akan bantu, kalau tidak banyak sedikit pun mereka bantu jua mengikut kemampuan mereka.

- Advertisement -

Jabatan Meteorologi Malaysia sudah memberi amaran bahawa musim tengkujuh akan berlaku pada 7 November lepas apabila peralihan Monsun Timur Laut berlaku lebih awal sehingga bulan Mac 2023 nanti, kekerapan hujan kini menjadi mimpi negeri rakyat Selangor yang kini hidup dalam keadaan ketakutan dan penuh kegelisahan.

Bagi persiapan banjir kali ini seluruh kekuatan dan aset Jabatan Amal Negeri Selangor telah digerakkan membantu mangsa semenjak awal bulan lagi dan kawasan-kawasan yang terlibat awal banjir minggu lepas seperti di Klang, Kapar, Sungai Buloh, Hulu Langat dan Shah Alam yang kini sudah surut dan bantuan Khidmat pembersihan telah digerakkan.

Seramai 50 anggota di kawasan tersebut telah dikerahkan untuk membantu mangsa banjir dan keutamaan kami adalah membersihkan masjid, surau dan sekolah-sekolah manakala rumah kediaman yang diberi keutamaan adalah rumah warga emas, OKU, pesakit kronik dan ibu tunggal. 

Selangor kini mencatatkan 1,250 lebih mangsa yang terkesan akibat banjir di 7 buah daerah yang yang melibatkan 16 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga hari ini.

Seluruh kekuatan Jabatan Amal di semua kawasan yang terjejas seperti di Kota Raja, Sepang, Kuala Selangor, Hulu Langat, Kuala Langat, Bangi, Subang dan Sabak Bernam telah digerakkan dalam membantu mangsa berpindah, dan sebahagian lagi telah membuka dapur rakyat, menyediakan makanan dan sumbangan-sumbangan barangan lain yang diperlukan bersama Khidmat Malaysia dan NGO-NGO kebajikan lain.

Manakala Amal kawasan yang tidak terkesan banjir telah diarahkan bersedia turun membantu kawasan-kawasan memerlukan pada bila-bila masa dan dianggarkan lebih 300 anggota akan berkampung, membantu kawasan-kawasan terkesan.

Sepanjang musim ini rakyat terus diingatkan untuk berhati-hati dan berwaspada lebih-lebih lagi ketika balik mengundi Sabtu ini, bagi kawasan-kawasan perumahan yang pernah dinaikan air sebelum ini diingatkan untuk bersiap sedia dan pastikan semua barangan peralatan rumah yang akan ditinggalkan nanti diletakkan di tempat yang selamat.

SHEHDI HAZRIK SHAMSUDIN 
Pengarah 
Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor 
17 November 2022 – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -