Haramkan vape: Kerajaan Terengganu bodoh?

- Advertisement -

AKU tak kenal siapa minah ni. Cuma apabila isu yang diperdebatkan itu dan disokong oleh para pencinta kesihatan tak kira anti-vaksin atau pro-vaksin, dia kelihatannya menongkah arus hanya kerana mahu mengatakan Kerajaan Terengganu bodoh.

Bayangkan, anti-vaksin dan pro-vaksin yang berkelahi berkenaan vaksin sehingga membawa kepada saman menyaman, sumpah seranah, boleh berdiam diri dan bersetuju untuk diharamkan penjualan vape kerana kesan buruknya. Tapi minah ini berdiri entah atas nama apa, menentang pengharaman penjualannya. Rugi sebab tidak boleh kutip cukai katanya.

Cuba bayangkan begini. Kumpulan Wahhabi, Salafi, Ahbash dan ASWAJA adalah kumpulan yang sering berkelahi berkenaan apa sahaja yang berkaitan dengan isu cabang fekah di seluruh dunia, tetapi sebulat suara bersetuju mengenai pengharaman dalam hukum qat’i contohnya judi itu haram.

- Advertisement -

Tiba-tiba ada satu kumpulan lain yang mengatakan bodoh kepada semua jika haramkan judi sebab boleh kutip cukai. Kau rasa dia dari kumpulan yang betul ke sesat? Katanya lagi nanti akan berlaku penjualan secara haram. Apa dia ingat PDRM, Kastam, bodoh, tak buat kerja?

Fatwa Kerajaan Terengganu telah dikeluarkan pada sekitar akhir tahun 2015 berkenaan pengharaman penggunaan dan penjualan vape. Dan Terengganu bukan satu-satunya negeri yang mengharamkannya. Hanya sahaja Kerajaan Terengganu di bawah Razif tidak melaksanakan pengharaman itu walaupun dilihat beberapa kali telah cuba melakukannya.

Alasan beliau ketika itu ialah memberikan ruang kepada peniaga vape untuk mencari alternatif lain kerana mungkin terkesan dengan pengharaman itu selama enam bulan dan Razif juga berjanji akan cuba membantu. Namun ia tidak berlaku, vape terus dijual secara berleluasa.

Jadi siapakah minah ini, mewakili persatuan mana? Atau dari Umno dan PH? Adakah dia layak untuk bercakap mewakili ibu bapa yang risau mengenai kesan buruk vape terhadap anak-anak atau hanya sekadar mahukan keseronokan bersiaran langsung mencari followers?

Punyalah dia nak kutuk Terengganu, dia bandingkan vape ini macam judi, Kerajaan Terengganu rugi, kerana menutup judi yang berlesen sedang dalam masa yang sama boleh mengambil cukai dari orang bukan Islam walaupun orang Islam tidak dibenarkan berjudi. Sedangkan judi tidak ada dalam agama lain, entah apa yang dia mahu pertahankan. Kelakarkan?

Jika begitu alasannya, hanya kerana cukai, jadi bolehlah jika ada orang bertanya kepada dia, rugilah Kerajaan Malaysia kerana mengharamkan pelacuran. Ia boleh dilakukan secara selamat dengan menggunakan alat pencegahan yang sepatutnya. Boleh kutip cukai dari pekerja seks, sebagaimana di Belanda, kan?

Teringat aku dengan seorang pimpinan Terengganu sebelum Disember 1999 dahulu apabila ditanya kenapa tidak diharamkan judi? Jawabnya judi berlesen ini ibarat tandas awam. Jika kita tidak sediakan tandas awam, nanti mereka berak kencing merata-rata. Cerdikkan jawapannya?

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 29/4/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!