Menerajui portfolio baharu untuk kemakmuran Perak

- Advertisement -

SEGALA puji bagi Allah S.W.T, hari ini saya telah diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan. Terima kasih diucapkan kepada Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Saarani Mohamad di atas kepercayaan yang telah beliau berikan kepada saya untuk memikul amanah ini. 

Hakikatnya, segala amanah yang diberikan ini bukanlah satu kemuliaan untuk dibanggakan, sebaliknya ia adalah satu tugas yang akan dipertanggungjawabkan kelak di hadapan Allah S.W.T. Walau bagaimanapun, saya beranggapan bahawa inilah peluang dan masa untuk kita sama-sama menggembleng tenaga dan keringat serta memerah idea dan buah fikiran demi berkhidmat untuk negeri tercinta.

- Advertisement -

Mencermati portfolio yang baharu, saya berpandangan bahawa Belanjawan Perak 2021 yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Saarani Mohamad adalah sangat baik khusus bagi mengembangkan lagi sektor pertanian, perladangan dan industri makanan. 

Di samping itu, terdapat banyak inisiatif yang disediakan dalam Belanjawan Perak 2021 yang mencakupi pelbagai inisiatif menarik khususnya berkaitan dengan pertanian, perladangan dan industri makanan.

Antaranya ialah sebanyak RM58.5 juta bagi pembangunan sektor pertanian. Sebanyak RM41.7 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus manakala sebanyak RM16.8 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Pembangunan.

Selain itu, Jabatan Pertanian turut menerima peruntukan-peruntukan Belanja Mengurus RM24.2 juta dan Belanja Pembangunan RM8.0 juta yang dikhususkan bagi pembangunan industri tanaman, peningkatan teknologi pertanian, pembangunan modal insan dan pembangunan industri asas tani. 

Bagi tujuan pembangunan ternakan pula, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM22.5 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar meliputi RM17.5 juta belanja mengurus dan RM5.0 juta belanja pembangunan.

Malah, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk pembangunan padang ragut di seluruh Negeri Perak yang akan diperluaskan kepada para graduan pada tahun hadapan.

Di samping itu, bagi memastikan pengeluaran daging kambing dan bebiri kekal di tahap terbaik, RM2.3 juta telah disediakan bagi tujuan ini. Manakala RM1.0 juta dikhususkan untuk industri lembu pedaging dan ternakan rusa. 

Kepentingan pertanian, perladangan dan industri makanan sangat penting kepada sesebuah negeri kerana nadi utama rakyat adalah berasaskan kepada makanan yang terdapat dalam negeri tersebut.

Justeru, memikul tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan, saya akan meneruskan segala usaha baik yang telah dilakukan oleh Exco sebelum ini di samping menambah baik segala program dan projek yang akan datang agar lebih berdaya saing, kompeten dan efisien demi kemajuan serta kemakmuran Negeri Perak yang dikasihi.

YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Negeri Perak – HARAKADHAILY 23/12/2020

- Advertisement -