Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat julung kali di Negeri Sembilan

Kamarol Ridzuan Md Zain
- Advertisement -

PORT DICKSON: Negeri Sembilan yang buat kali pertama diberi kepercayaan menganjurkan program Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran PAS Pusat, mengadakan persiapan rapi membabitkan kerjasama pelbagai pihak termasuk sumbangan masyarakat setempat.

Pengarah program, Kamarol Ridzuan Md Zain, berkata pihaknya bersyukur atas kepercayaan PAS Pusat selain berterima kasih atas sokongan kuat yang diterima dalam menjayakan program berkenaan.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, pertama saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PAS Pusat atas kepercayaan diberikan. Ini julung kali Negeri Sembilan menganjurkan program seperti ini. Insya-Allah, kita akan memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Dewan The Grand, Lukut di sini, hari ini.

Program rumah terbuka itu akan bermula pada jam 11.30 pagi dan akan berakhir pada jam 4 petang.

Program itu juga mampu memuatkan 600 kereta, 400 motosikal serta menampung 2,500 orang pada satu-satu masa.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Sembilan itu berkata, persiapan berjalan lancar dengan konsep gotong-royong diketengahkan, termasuk penyediaan pelbagai juadah tradisional Negeri Sembilan.

“Masakan Negeri Sembilan seperti lompat kuning dari Kuala Pilah, rendang serta lemang disediakan secara gotong-royong malam tadi. Selain itu, kita menyediakan kambing bakar hasil sumbangan orang ramai, membabitkan kira-kira 20 ekor kambing,” katanya.

Mengulas mengenai lokasi, Kamarol Ridzuan berkata, kemudahan di tapak program di Lukut amat selesa dan persiapan keseluruhan dianggap terbaik.

“Kita menjangkakan lebih 10,000 orang akan hadir. Jika kehadiran lebih ramai, itu melambangkan kekuatan, tambahan pula kita ada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi turut memaklumkan, ramai pimpinan PAS Pusat dijemput menghadiri program berkenaan, termasuk Timbalan Mursyidul Am PAS, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta wakil dari lapan kedutaan asing.

“Saya difahamkan wakil dari China dan Singapura turut hadir. Ini satu perkembangan yang amat baik, dan kita membuat persiapan sebaik mungkin untuk menyambut kehadiran semua pimpinan dan tetamu,” katanya.

Yang Dipertua PAS Rembau itu turut merakamkan penghargaan kepada PAS Pusat dan semua pihak yang membantu menjayakan program itu. – HARAKAHDAILY 27/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!