DUN Kelantan sebulat suara lulus RUU Antilompat Parti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti selaras kelulusan di peringkat Parlimen sebelum ini.

- Advertisement -

RUU Tubuh Kerajaan Negeri (Pindaan) 2022 itu dilulus pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan petang semalam.

Sebelum itu RUU terbabit dikemukakan Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah dan disokong sebulat suara Adun yang hadir pada Persidangan Ketiga Penggal Kelima DUN Kelantan ke-14.

Katanya, pindaan itu bertujuan untuk memastikan Enakmen Antilompat Parti dilaksanakan agar selari dengan apa yang sudah diputuskan di Parlimen sebelum ini.

Speaker DUN Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, pindaan itu dilaksana selaras dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang berkuat kuasa pada 5 Oktober lalu.

Akta itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos dan diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 September lalu.

Pada 1991 Dun Kelantan pernah melulus Enakmen Antilompat Parti. Bagaimanapun enakmen itu dicabar di mahkamah oleh Adun Sungai Pinang Nordin Salleh pada April 1992.

Berikutan itu Mahkamah Agung ketika itu memutuskan undang-undang yang mewajibkan seseorang Adun yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan seseorang itu berpersatuan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 28/11/2022

- Advertisement -