Perlis komited tingkat akses perkhidmatan kesihatan rakyat

Marzita Mansor
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis terus komited dalam usaha meningkatkan kemudahan dan akses perkhidmatan kesihatan kepada seluruh rakyat negeri ini, termasuk di kawasan luar bandar.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Kesihatan negeri, Marzita Mansor berkata, kerajaan negeri memahami bahawa perkhidmatan kesihatan adalah keperluan asas yang perlu disediakan secara berterusan kepada rakyat, bermula sejak dari kandungan sehingga akhir hayat.

“Jabatan Kesihatan Negeri Perlis sentiasa berusaha memastikan masyarakat dapat mengakses perkhidmatan kesihatan dalam jarak yang dekat dan mudah.

“Setakat ini, terdapat 13 Klinik Kesihatan, 12 Klinik Pergigian, dan 27 Klinik Desa yang beroperasi di seluruh negeri,” katanya semasa menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, usaha peningkatan perkhidmatan kesihatan mencakupi pelbagai skop termasuk rawatan di hospital dan kesihatan primer yang disediakan di klinik-klinik kerajaan.

“Fasiliti utama termasuk Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Klinik Kesihatan, Klinik Desa dan Klinik Pergigian. Klinik-klinik ini menyediakan perkhidmatan komprehensif merangkumi promosi kesihatan, pencegahan penyakit, rawatan dan pemulihan,” katanya.

Menurut Marzita, kerajaan negeri juga telah melaksanakan pelbagai projek naik taraf dan pembaikan fasiliti kesihatan termasuk membaik pulih empat Klinik Kesihatan dan lima Klinik Desa di bawah projek Klinik Daif, serta 11 klinik yang terlibat dengan projek naik taraf pada tahun 2023 dan 2024.

“Antara yang telah mula beroperasi selepas dinaik taraf ialah Klinik Kesihatan Pauh, Klinik Kesihatan Kampung Gial, dan Klinik Kesihatan Padang Besar. Manakala Klinik Kesihatan Beseri sedang dalam proses pembinaan,” jelas beliau.

Pada tahun ini, ujarnya, sebanyak tujuh Klinik Kesihatan dan empat Klinik Desa lagi akan dinaik taraf, termasuk KK Simpang Empat, KK Kuala Perlis, KK Arau dan lain-lain.

Dalam pada itu, Marzita turut memaklumkan bahawa Hospital Tuanku Fauziah telah menambah baik Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memperluaskan perkhidmatan kepakaran termasuk Perubatan Respiratori, Endokrinologi, Neonatologi, Pembedahan Tulang Belakang dan Pembedahan Kanak-kanak.

“Selain itu, HTF juga menerima lawatan pakar (visiting specialist) dari Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Pulau Pinang bagi memperluas akses rawatan pakar tanpa perlu rakyat keluar dari negeri ini,” katanya.

Beliau turut menambah, kerajaan negeri turut mengambil langkah memperluas pembedahan ortopedik minor melalui program Global Surgery ke Klinik Kesihatan Padang Besar bagi mengurangkan kesesakan di HTF.

Bagi perkhidmatan kesihatan pergigian pula, katanya, beberapa Klinik Kesihatan turut menawarkan rawatan pergigian, termasuk perkhidmatan Klinik Pergigian Pakar di HTF dan klinik pergigian bergerak (trak) yang dilengkapi dengan dua kerusi rawatan.

“Kerajaan berharap rakyat dapat memanfaatkan sepenuhnya semua perkhidmatan yang disediakan tanpa sebarang rungutan, memandangkan kemudahan yang ada sudah mencukupi untuk saiz negeri ini,” ujarnya lagi.

Marzita menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa serius dan komited dalam memastikan kebajikan dan kesihatan rakyat terus menjadi keutamaan. – HARAKAHDAILY 23/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!