Perutusan Khas Presiden PAS Aidiladha 1443H

- Advertisement -

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, marilah sama-sama kita menzahirkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT atas kurniaan rezeki dan kesempatan kepada kita selaku hamba-Nya untuk berpeluang menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dengan penuh kesederhanaan.

Pengorbanan menandakan perhambaan diri kepada Allah, sehingga Ibrahim AS bersedia mengorbankan anak yang dikasihi, Isma‘il yang dilahirkan ketika Ibrahim AS sudah terlalu tua. Sebelum itu, Ibrahim AS diperintahkan supaya meletakkan Isma‘il AS di bumi Makkah yang jauh serta tiada air dan makanan, kemudian Baginda diperintahkan pula supaya menyembelih puteranya untuk menjadi korban.

Tiba-tiba, perintah itu dibatalkan kerana semata-mata untuk menguji keimanan Baginda, lalu ditukar kepada menyembelih binatang yang dipelihara. Firman Allah SWT:

﴿فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡيَ قَالَ يَٰبُنَيَّ إِنِّيٓ أَرَىٰ فِي ٱلۡمَنَامِ أَنِّيٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ يَٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُۖ سَتَجِدُنِيٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰبِرِينَ١٠٢ فَلَمَّآ أَسۡلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلۡجَبِينِ١٠٣ وَنَٰدَيۡنَٰهُ أَن يَٰٓإِبۡرَٰهِيمُ١٠٤ قَدۡ صَدَّقۡتَ ٱلرُّءۡيَآۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجۡزِي ٱلۡمُحۡسِنِينَ١٠٥ إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ ٱلۡبَلَٰٓؤُاْ ٱلۡمُبِينُ١٠٦ وَفَدَيۡنَٰهُ بِذِبۡحٍ عَظِيمٖ١٠٧ وَتَرَكۡنَا عَلَيۡهِ فِي ٱلۡأٓخِرِينَ١٠٨ سَلَٰمٌ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ١٠٩ كَذَٰلِكَ نَجۡزِي ٱلۡمُحۡسِنِينَ١١٠ إِنَّهُۥ مِنۡ عِبَادِنَا ٱلۡمُؤۡمِنِينَ١١١﴾

“Maka, apabila anaknya (Isma‘il AS) sampai pada peringkat berjalan-jalan bersamanya, tiba-tiba (Ibrahim AS) memberitahu perintah Allah (melalui mimpi yang benar oleh seorang Rasul): ‘Bahawa aku menyembelihmu. Apa pendapatmu?’ Isma‘il menjawab: ‘Wahai ayah kesayanganku! Buatlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah, ayah akan dapati aku termasuk dalam kalangan yang sabar (menghadapi ujian).’ (102); Maka, tatkala kedua-dua beranak itu menyerah diri (kepada perintah Allah) dan Isma‘il direbahkan mengiring di atas lambungnya (untuk disembelih). (103); Kami menyeru: ‘Wahai, Ibrahim! (104); Engkau telah percaya kepada wahyu mimpi itu, (maka perintah itu kami batalkan).’ Beginilah kami memberikan ganjaran kepada orang-orang yang baik (mentaati perintah Tuhannya). (105); Sesungguhnya, perintah ini ialah satu ujian yang nyata, (106); dan kami gantikan dengan binatang sembelihan (kibasy) yang besar. (107); Kami jadikan contoh teladan kepada orang-orang yang lain. (108); Selamat sejahtera kepada Ibrahim. (109); Begitulah kami memberikan balasan kepada orang-orang yang baik, (110); Sesungguhnya, (Ibrahim) dalam kalangan hamba-hamba kami yang benar-benar beriman. (111)” (Surah al-Saffat: 102-111)

Maka, mereka yang berkemampuan hendaklah melakukan ibadat korban, sama ada korban wajib kerana bernazar atau mewajibkan dirinya, mahupun korban sunat dengan berniat kerana Allah, bukan kerana memuja yang lain daripada Alah yang diharamkan seperti memuja syaitan atau memuja kubur seseorang, walaupun kubur para anbiya’, ulama’ atau auliya’.

Marilah kita menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang dirakamkan dalam al-Quran sebagai suatu semangat dan motivasi untuk berhadapan dengan ujian dan musibah yang melanda hari ini. Begitu juga menghayati falsafah ibadat haji yang menekankan soal perpaduan yang menjadi teras kekuatan umat Islam.

Justeru, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya dengan penuh sukacitanya ingin mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidiladha” kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak kira mana jua kalian berada.

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 9/7/2022

- Advertisement -