Myanmar: 753 terbunuh dalam tindakan kejam junta

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 753 orang terbunuh setakat ini dalam tindakan kejam tentera Myanmar terhadap penunjuk perasaan anti-kudeta, menurut angka terbaharu yang dikeluarkan oleh kumpulan pemantau hak asasi pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Dua lagi mangsa terbunuh pada Ahad dan direkodkan pada Isnin, kata Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP) dalam kemas kini terbaharunya.

Advertisement

Seramai 3,441 orang ditahan dan 79 daripadanya telah disabitkan.

“Hari ini menandakan hari ke 85 rampasan kuasa dengan lebih 700 orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh, dan ramai lagi yang cedera,” kata kumpulan itu.

AAPP menjangkakan Myanmar akan berada dalam situasi yang lebih genting jika tindakan berkesan tidak diambil untuk menangani keganasan itu.

“Perdamaian tidak akan tercapai tanpa demokrasi. Pasti ada fokus untuk mengalahkan pemerintahan diktator di Myanmar,” tambahnya.

Kemelut di negara Asia Tenggara itu bermula pada 1 Feb ketika Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokratik digulingkan dalam rampasan kuasa dan ditahan oleh junta tentera.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi telah menyuarakan kebimbangan berikutan penggunaan kekuatan yang tidak seimbang oleh junta tentera terhadap penunjuk perasaan yang tidak bersenjata. – BERNAMA