Statistik salah guna dadah dipolitikkan perburuk Kelantan

CREATOR: gd-jpeg v1.0 (using IJG JPEG v80), quality = 75?
- Advertisement -

KOTA BHARU: Rozi Muhammad (PAS-Tendong) menyuarakan rasa kesal terhadap sikap sesetengah pihak yang mempolitikkan isu statistik penyalahgunaan dadah di Kelantan untuk memburukkan imej pentadbiran negeri.

- Advertisement -

Tegasnya, pihak Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah menafikan angka yang dilaporkan oleh pihak berkuasa, namun menolak sikap hipokrit yang menjadikan angka tersebut sebagai senjata politik untuk menyerang negeri ini.

“Ya, Kelantan mencatat kadar penyalahgunaan dadah yang tinggi. Tetapi apakah bila sesuatu negeri mencatat angka tertinggi, maka ia secara automatik dianggap gagal?” soal beliau dalam perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Beliau membandingkan bagaimana statistik buruk di negeri-negeri lain tidak pula dijadikan alasan untuk menghukum pentadbiran mereka.

“Kes HIV/AIDS tertinggi dicatatkan di Selangor. Kes rasuah, juga Selangor dan Sabah. Kes rogol tertinggi di Sabah. Tetapi tidak pula kita dengar negeri-negeri ini dihina seperti Kelantan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, isu dadah di Kelantan bukan hanya berpunca daripada kegagalan pentadbiran negeri, tetapi berpunca daripada faktor-faktor yang jauh lebih kompleks termasuk kedudukan geografi Kelantan sebagai negeri sempadan.

“Lebih 100 kilometer sempadan darat dan sungai dengan Thailand, menjadikan negeri ini sasaran utama sindiket dadah antarabangsa. Tahun 2023 sahaja, PDRM merampas lebih 2 tan dadah di sekitar sempadan Kelantan, dengan nilai rampasan melebihi RM100 juta,” katanya.

Beliau menggesa agar tumpuan diberi kepada penyelesaian menyeluruh termasuk kawalan sempadan yang lebih ketat, pembinaan zon penampan keselamatan di Sungai Golok, penggunaan teknologi pemantauan, serta kerjasama risikan rentas sempadan.

Rozi turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menubuhkan Pusat Rehabilitasi Komuniti di setiap jajahan, dikendalikan oleh NGO dan masyarakat setempat, serta menubuhkan Tabung Dana Pemulihan Sosial Negeri.

“Masalah dadah ini bukan hanya isu tempatan, tapi isu keselamatan negara. Kita boleh buat ceramah siang malam, tapi jika sempadan masih bocor, dadah akan terus masuk seperti air pasang naik,” tegas beliau.

Tegas beliau juga, bahawa penghinaan terbuka terhadap Kelantan hanya akan mencerminkan sikap tidak matang dalam berpolitik.

“Kita akui kelemahan dan sedang perbaiki. Tapi jangan politikkan statistik untuk menanam kebencian terhadap negeri ini,” katanya penuh tegas. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!