Siapakah seteru umat Islam di Malaysia?

PENDAHULUAN

Kedudukan Islam di Malaysia sebenarnya begitu kukuh, berakar-umbi dari kepercayaan majoriti rakyat Malaysia sehinggalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama negara. Dengan kedudukan tersebut, Islam seharusnya menjadi panduan dalam merumuskan prinsip dan praktis dalam amalan bernegara serta bermasyarakat. Usaha yang berterusan telah dilangsungkan untuk mendaulatkan Islam sebagai prinsip dan praktis sejak dari mencapai kemerdekaan seterusnya menjadi semakin meluas mutakhir ini. Pendaulatan Islam ini semakin mencemaskan sesetengah pihak sehingga mereka sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya yang semakin menerangi tersebut. Artikel ini akan membincangkan pihak manakah yang begitu terancam dengan usaha pendaulatan Islam di negara ini.

Akar umbi Islam membina Malaysia

Di dalam Falsafah Sejarah, ada satu perbahasan yang agak menarik khususnya berkaitan pembentukan sebuah negara dalam konteks masa kini. Persoalan tersebut ialah; adakah sejarah tentang sesuatu bangsa yang membentuk sesebuah negara atau sesebuah negara yang akan melakarkan sejarah sesuatu bangsa? Persoalan ini sangat relevan untuk dijawab supaya kita boleh menyimpulkan bagaimanakah kedudukan Islam di Malaysia. Sekiranya kita memerhatikan secara jujur terhadap negara Malaysia, sebenarnya Malaysia dibina berasaskan kedua-dua teras ini, iaitu negara kita dibina oleh sejarah dan sesudah itu negara kita pula melakarkan sejarah. Oleh sebab itu, kedudukan Islam di Malaysia sangat berakar umbi dan termaktub kukuh.

Malaysia bukanlah sebuah negara yang hanya terbentuk pada tahun 1957 melalui penggubalan Perlembagaan Persekutuan oleh Suruhanjaya Reid, sebaliknya negara ini terbentuk bermula daripada sejarah yang begitu Panjang. Sekiranya sejarah itu ditelusuri ke belakang, dengan menjadikan prinsip dan praktis berkerajaan sebagai titik mulanya, maka sejarah pembentukan Malaysia sebenarnya sudah bermula sejak kurun kedua Masihi. Seterusnya berdasarkan catatan Hikayat Merong Mahawangsa, pada kurun ke-12 pula Islam sudah bertapak mendominasikan kerajaan melalui Sultan Mudzafar Shah yang memeluk Islam. Berdasarkan kepada hakikat itu, Islam sudah berakar umbi dalam politik, ekonomi dan sosial negara ini lebih dari 900 tahun.

Dalam tempoh 900 tahun itu, Islam telah menjadi begitu dominan membentuk citra bangsa Melayu mempengaruhi kepercayaan, amalan ritual, nilai dan budaya mereka. Islam di rantau ini bukan hanya berakar umbi sebagai pegangan seseorang tetapi telah diinstitusikan dalam bentuk politik melalui Kesultanan Islam, dalam bentuk pendidikan yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah, dalam bentuk komunikasi yang menggunakan bahasa Melayu sebagai Lingua Franca dan dalam bentuk nilai melalui warisan adat resam bersendikan syarak. Prinsip dan praktis Islam ini berkembang secara evolusi dan asimilasi menjadikan ia cukup berakar umbi dan amat sukar untuk dilenyapkan, meskipun tetap wujud usaha untuk menghakisnya.

Kontrak Sosial Malaysia melakar sejarah

Selain daripada susur galur sejarah yang panjang membentuk Malaysia, negara ini juga dibentuk oleh satu kontrak sosial ketika pejuang-pejuang kemerdekaan mengusahakan kemerdekaannya pada tahun 1957. Kontrak Sosial yang membentuk Malaysia dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai empat tonggak utama, iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, kedaulatan Raja-raja Melayu, keutuhan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kedudukan hak istimewa kaum Bumiputera. Keempat-empat tonggak inilah yang telah menjadi ramuan unik kepada kestabilan politik, kelestarian ekonomi, keadilan sosial dan keharmonian kaum di Malaysia sehingga hari ini. Kesemua ini menjadi satu sejarah baru kepada negara.

Keindukan Islam dalam negara ini, seperti yang termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan dan kemudian dipelihara oleh kuasa tertinggi dalam negara ini (Raja-raja Melayu), menjadikannya ia sukar untuk dirombak. Meskipun tafsiran terhadap Islam sebagai agama negara pada zaman awal selepas kemerdekaan merujuk kepada fahaman Sekular sesetengah pihak yang menerajui negara dan kehakiman, tafsiran ini kemudiaannya ditolak oleh generasi yang menerajui negara dan kehakiman selepas hampir lima dasawarsa. Menjadi satu tanggungjawab pejuang Islam untuk mempertahankan tafsiran ini, malah menjadikan tafsiran ini termaktub secara tuntas dan direalisasikan dalam bentuk praktis.

Melihat kepada susur-galur sejarah yang membentuk negara ini, diperkukuhkan oleh kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sepatutnya tiada halangan kepada umat Islam untuk melaksanakan Islam dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Bagaimanapun, pelaksanaan Islam tidaklah semudah yang disangka, menghadapi begitu banyak kekangan sejak awal kemerdekaan. Kekangan itu, boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kejahilan umat Islam sendiri tentang kehebatan Islam dan halangan yang terancang daripada seteru agar umat Islam tidak berupaya melaksanakannya. Halangan kejahilan umat Islam itu semakin mengecil, manakala halangan terancang daripada seteru pula semakin membesar.

Seteru Umat Islam Malaysia

Menyedari hakikat bahawa Islam di Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh dan berpotensi untuk direalisasikan sebagai sistem kehidupan bernegara dan bermasyarakat, maka Malaysia dilihat mempunyai posisi yang sangat penting untuk membangunkan semula peradaban Islam yang telah hilang. Ditambah pula dengan kedudukan Malaysia yang sangat strategik bersebelahan Selat Melaka, laluan yang paling sibuk di dunia, serta menjadi pintu kemasukan dari Selatan ke Laut China Selatan, pentas ekonomi yang paling berkembang di dunia, maka negara ini benar-benar menarik perhatian kuasa-kuasa besar. Memang tepat jika dikatakan, Malaysia adalah negara yang menjadi benih pembinaan semula peradaban Islam. 

Hakikat ini sedang diperhatikan oleh pelbagai pihak sama ada yang memilih untuk berkolaborasi dengan umat Islam di Malaysia atau memilih untuk berkonfrontasi dengan mereka. Mereka yang memilih untuk berkonfrontasi inilah yang termasuk dalam seteru umat Islam di negara ini. Oleh sebab itu, definisi tuntas yang cadangkan tentang ‘Seteru Islam’ adalah satu gerakan atau gagasan yang terancang di dalam dan di luar Malaysia yang berusaha melenyapkan citra Islam yang menjadi prinsip dan praktis umat Islam di Malaysia demi untuk mengekang negara ini menjadi tapak mula kepada pembinaan semula peradaban Islam sedunia. Berdasarkan definisi ini, seteru umat Islam boleh dikenalpasti berdasarkan asas-asas berikut:

a.     Penemuan analisis eskatologi

Eskatologi ialah satu bidang kajian berkaitan peristiwa-peristiwa yang berlaku di akhir zaman sebelum berlakunya hari kiamat. Dalam konteks Ilmu Islam, sumber ilmu kajian ini ialah al-Quran, al-Sunnah, Athar dan pandangan para ulamak dalam kitab-kitab mereka. Bidang kajian ini akan kekal relevan sejak zaman keilmuan Islam klasik sehingga Hari Kiamat. Ia sangat penting kepada umat Islam untuk mereka mengenalpasti peristiwa-peristiwa yang mereka sedang hadapi dan mengunjurkan peristiwa yang bakal berlaku di masa depan. Dalam konteks mengenalpasti seteru umat Islam hari ini, bidang ini sangat penting, contohnya siapa golongan Yahudi dan Nasrani yang memusuhi Islam, siapa Dajjalun, siapa Ruwaibidhah dan lain-lain.

b.     Percaturan Geopolitik Antarabangsa

Geopolitik Antarabangsa juga boleh menjadi petunjuk kepada umat Islam untuk mengenalpasti siapakah musuh yang sedang berhadapan dengan mereka. Dengan menganalisis perkembangan Geopolitik Antarabangsa ini, perancangan musuh-musuh Islam dalam bentuk politik, ekonomi dan sosial dan rangkaian mereka dapat dicam dan dihadapi dengan tepat. Selain daripada itu, sesebuah Gerakan Islam dapat mengelakkan diri dari dipergunakan dan ditunggangi oleh musuh-musuh tersebut, sebagaimana yang kerap berlaku dalam sejarah Gerakan Islam sebelum ini. Antara golongan musuh yang mempunyai rangkaian global meluas ialah Zionisme, Evangelisme, Imperialisme, Populisme, Freemason, Illuminati dan lain-lain.
 

c.     Persaingan Islam vs Sekularisme di Malaysia

Sekularisme di Malaysia tidak pernah mengalah selepas dominasi mereka dalam pemerintahan Malaysia semakin pupus pada hari ini. Golongan Sekularis ini berusaha menghakis keempat-empat tonggak Perlembagaan Persekutuan yang menjamin keindukan Islam dalam negara ini. Bagaimanpun pertembungan dengan golongan Sekularis ini tidak berlaku secara berhadapan seperti sebelum ini, sebaliknya mereka menggunakan strategi yang bijak dengan mengemukakan gagasan-gagasan baru atas nama hak asasi manusia, keadilan sosial, hak sivil demokrasi dan lain-lain. Secara jelas, golongan ini bergerak dalam bentuk gagasan pemikiran dan gerakan sosial selain daripada parti-parti politik yang ditaja oleh pihak asing.

c.     Pertembungan dengan Kapitalis Industri Dosa

Kapitalis pemilik Industri Dosa sebenarnya turut memainkan peranan penting dalam mencorak situasi politik, ekonomi dan sosial dalam negara ini khususnya ke arah kemungkaran dan kemaksiatan. Mereka telah ‘memerangi’ umat Islam di negara sekian lama sehingga menjadi wabak yang sukar diatasi oleh umat Islam, sebagai contohnya ialah penyalahgunaan dadah. Golongan Kapitalis ini turut mempunyai rangkaian antarabangsa yang terlibat dengan pelbagai kegiatan Industri Dosa seperti perjudian, pelacuran, pemerdagangan manusia, Gangsterisme dan seumpamanya. Keadaan akan menjadi lebih membarah apabila mereka mendukung golongan politikus tertentu dalam bentuk penyaluran dana politik.

Kesimpulan

Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk mempertahankan kedudukan Islam yang ada di Malaysia pada hari ini, seterusnya terus mara untuk melaksanakan Islam secara syumul. Meskipun, kedudukan Islam di Malaysia begitu kukuh dan pelaksanaan Islam semakin meluas, golongan yang memusuhi perkara ini juga semakin berganding antara satu sama lain. Usaha untuk mengimbas jaringan golongan yang menjadi seteru Islam ini perlu dilakukan secara akademik dan sistematik, sehingga strategi yang sempurna dapat diambil untuk menghadapi mereka. PAS juga boleh memperkukuhkan usaha ini dengan mewujudkan jaringan bersama gerakan Islam di negara lain.

Advertisement

Oleh:
DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Rektor KUIZM – HARAKAHDAILY 10/12/2019