KHTP: RM132.2 bilion pelaburan masuk dalam 5 tahun akhir

Mewakili 72.84 peratus iaitu daripada RM181.5 bilion sejak tahun 1996

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kawasan Industri Kulim Hi-Tech Park (KHTP) terus menjadi kawasan pelaburan utama dalam sektor pembuatan bukan sahaja di Kedah tetapi juga di peringkat nasional.

Sejak penubuhannya pada tahun 1996, KHTP berjaya mengumpul jumlah pelaburan sebanyak RM181.5 billion, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah.

Menurut beliau, dalam tempoh tempoh lima tahun terkini, KHTP berjaya mengumpul jumlah pelaburan sebanyak RM132.2 bilion, yang secara tidak langsung menjadikannya antara taman teknologi tinggi paling berjaya.

Namun jelasnya, KHTP juga menjadi pesaing utama kepada beberapa taman teknologi di Asia Tenggara seperti Singapore Science Park 1 dan 2, Eastern Economic Corridor di Thailand di tiga wilayah iaitu Chonburi, Rayong dan Chachoengsao dan Ho Chi Minh Hi-Tech Park di Vietnam.

“KHTP juga adalah rumah kepada beberapa syarikat terkemuka dunia seperti Intel, Infineon, Osram dan banyak lagi. Secara khususnya KHTP memberi fokus kepada sektor E&E (elektrik dan elektronik), semikonduktor, dan teknologi tinggi.

“KHTP kini dalam Fasa 4A dan Kerajaan Negeri sedang merancang pembukaan Fasa 5 dengan tanah berkeluasan hampir 500 ekar sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang ‘The Greater Kedah’,” jelas beliau.

Butiran tersebut dikemukakannya sebagai menjawab pertanyaan Abdul Ghafar Saad (PN-Guar Chempedak) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Abdul Ghafar pada soalannya memohon penjelasan berkenaan perkembangan pelaburan di Kedah, termasuk kawasan industri baharu dalam usaha untuk menarik sebanyak mungkin para pelabur luar masuk ke negeri ini.

Justeru kata Haim, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam memastikan ketersediaan kawasan perindustrian yang mencukupi bagi menampung peningkatan permintaan dari pelabur, terutama pelabur luar negara dan syarikat berteknologi tinggi.

“Setakat ini jumlah keluasan kawasan perindustrian yang terdapat di Kedah adalah sebanyak 40,000 ekar. Selain KHTP, kita juga mempunyai kawasan industri di Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SEBZ) atau Delapan Special Border Economic Zone yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai pusat logistik dan pengedaran serantau.

“Berikutan kedudukan strategiknya berhampiran sempadan Thailand, kawasan ini sangat pontensi dimajukan selari dengan aspirasi kerajaan negeri dan negara. Tambahan pula SBEZ juga merupakan antara pintu masuk utama perdagangan serantau.

“Di kawasan ini juga adanya Kedah Science Technology Park (KSTP) yang diyakini akan menjadi pemacu kepada kerancakan pertumbuhan ekonomi di utara Kedah.” katanya lagi.

Secara keseluruhannya kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu lagi, Kedah mempunyai kawasan yang mencukupi untuk dimajukan, malah menerusi Invest Kedah telah dibentuk satu pasukan yang dipanggil sebagai Kedah Investment Team (KIT).

KIT katanya, melibatkan penyertaan semua agensi Kerajaan Negeri dan Pusat menjadi pemacu kepada gerak kerja terancang dan strategik berteraskan kepada ‘good governance’, cekap, cepat dan telus dalam aspek utama aktiviti pelaburan. 

“‘Pre-investment and post-investment’, hari ini telah membolehkan Kedah menjadi ‘benchmark’ kepada negara khususnya melalui pelaksanaan E10 iaitu satu sistem pentadbiran di mana pelabur boleh mengeksport barangan mereka dalam tempoh sepuluh bulan dari tarikh ia mendapat kebenaran merancang.

“Di masa yang sama Kerajaan Negeri juga sedang mengusahakan tempoh tersebut kepada 8 bulan @ E8,”jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!