COVID-19: Sumbang mesin basuh untuk ‘frontliners’

- Advertisement -

IPOH: Para petugas yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam memerangi COVID-19 ketika ini merupakan pejuang barisan hadapan negara di mana komitmen mereka pasti tidak terbalas.

- Advertisement -

Namun, sebagai solidariti rakyat dan saling mendorong demi kebaikan bersama, penyataan penghargaan wajar disampaikan dalam sebarang bentuk dan kemampuan yang ada demi menzahirkan kebersamaan.

NGO Prihatin DUN Manjoi antara yang turut tidak ketinggalan membantu petugas COVID-19 dengan menyumbangkan mesin basuh bagi kegunaan mencuci pakaian petugas-petugas di Klinik Kesihatan Jelapang, di sini semalam.

“Bagi kita pula, usahalah semampu yang boleh bersama warga masyarakat untuk berikan sumbangan membantu pejuang-pejuang di barisan hadapan di KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) khususnya.

“Besar pengorbanan warga KKM, kita anggota masyarakat sangat memahami dan sama-sama untuk kita bantu apa jua keperluan mereka,” ujar Pengerusi Prihatin DUN Manjoi, Ustaz Hafez Sabri.

Sementara itu, pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan pelantikan kakitangan kontrak khususnya jururawat amat bertepatan bagi membantu petugas kesihatan ketika ini.

“Pengorbanan para doktor dan kakitangan perubatan di barisan hadapan memerangi wabak COVID-19 serta petugas keselamatan, polis sewajarnya dihargai seluruh masyarakat.

“Apa yang kita mesti buat sekarang, bertenang serta teruskan berdoa dan bermunajat kepada Allah S.W.T agar ujian besar ini berakhir,” jelasnya lagi yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Perak.

Ujarnya lagi, sama-samalah patuhi arahan kerajaan ketika ini khususnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari ini dengan hanya duduk di rumah agar COVID-19 tidak berterusan penularannya. – HARAKAHDAILY 24/3/2020

- Advertisement -