Razman tuntut Exco Perak dari DAP mohon maaf

- Advertisement -

IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria mendesak permohonan maaf secara terbuka daripada Ahli Dewan Negeri Pasir Berdamar Woo Kah Leong berhubung tindakan memuat naik hantaran bersifat menghina di media sosial.

- Advertisement -

Menurut Razman, beliau memandang serius tindakan Woo yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak menyiarkan gambar beliau berpakaian seperti badut dalam satu hantaran di _Facebook_, yang disifatkan sebagai tidak matang dan provokatif.

“Saya menuntut permohonan maaf secara terbuka di Dewan Negeri Perak hari ini dalam ucapan penggulungan oleh Ketua DAPSY itu serta penarikan balik kandungan tersebut dari _Facebook_ dengan kadar segera,” tegasnya.

Razman turut memetik Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melarang penyebaran kandungan jelik, mengancam atau bersifat menyinggung perasaan dengan niat untuk menjengkelkan atau mengganggu pihak lain.

“Tindakan menggunakan wajah saya tanpa kebenaran dalam bentuk menghina merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang,” ujarnya yang juga ADN Gunung Semanggol.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan terhadap Woo Kah Leong.

Dalam masa sama, Razman menyelar Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, yang sebelum ini lantang mengkritik pihak lain sebagai tidak matang, namun membiarkan tindakan tidak beretika oleh ketua pemuda partinya sendiri.

“Sikap ‘cakap tak serupa bikin’ ini jelas menunjukkan hipokrasi politik DAP Perak,” bidasnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Ujar Razman, walaupun beliau kini digantung daripada menghadiri sidang Dewan Negeri selama enam bulan, beliau tetap memantau perkembangan Dewan melalui platform dalam talian dan berhubung rapat dengan Ahli Dewan Negeri blok pembangkang.

Tegasnya, sekiranya tiada sebarang tindakan atau permohonan maaf dibuat dalam tempoh 24 jam, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Exco terbabit. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!