PAS Lipis merasai kehilangan mujahidah perjuangannya

- Advertisement -

LIPIS: PAS Kawasan Lipis kehilangan seorang mujahidah istiqamah, Noor Azizah Yaacob yang menghembuskan nafas terakhir kembali ke rahmatullah di Hospital Daerah Lipis, di sini jam 6:15 pagi semalam.

- Advertisement -

Almarhumah yang juga Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Lipis telah dimasukkan ke wad hospital tersebut pada malam Isnin, 9 November lalu kerana sakit jantung itu meninggalkan empat anak di mana semuanya sudah berkeluarga.

Balu kepada mantan Setiausaha PAS Lipis, Almarhum Abu Hassan Mohamad ini selepas kematian suaminya tetap giat dan aktif menyumbang tenaga dan wang ringgit kepada PAS Cawangan, Kawasan dan Negeri.

Semarak perjuangan jihadnya ke arah mendaulatkan Islam hingga ke akhir hayat itu nyata menjadi contoh kepada para sahabatnya dalam kalangan Muslimat PAS Lipis yang mesra dipanggil ‘Kak Nor’ dan dikenali sifat amanahnya.

Lantaran itulah Almarhumah semasa hayatnya ditaklifkan sebagai Penolong Bendahari Muslimat PAS Lipis dan murah terlihat dengan senyuman biarpun seorang yang pendiam, namun ketiadaannya kini sudah terasa satu kehilangan.

Jenazah telah diberi penghormatan terakhir oleh Ketua Muslimat PAS Lipis, Ustazah Siti Khadijah Abdul Jamal dan Yang DiPertua PAS Lipis, Roslan Zainal Al-Ahmadi sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Relong jam 11:15 pagi. – HARAKAHDAILY 15/11/2020

- Advertisement -