Penduduk India Flat Serantau disantuni menjelang Deepavali

JOHOR BAHRU: Pusat Aduan Rakyat (PAR) dan Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Johor Bahru telah menggerakkan inisiatif menyantuni penduduk dalam kalangan masyarakat kaum India, di Flat Serantau Larkin, di sini petang kelmarin.

Advertisement

Program secara kolaborasi bersama Jabatan Amal Malaysia dan NGOJB Prihatin ini telah berganding bahu menyampaikan sumbangan buat keluarga penganut Hindu menjelang Deepavali yang diraikan mereka.

Kebanyakan mereka yang dikunjungi terdiri daripada warga emas yang bergantung ehsan daripada anak-anak, pesakit diabetis kronik, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal yang masih menanggung persekolahan anak-anak.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk membantu mereka yang serba kekurangan di mana dengan sedikit bantuan dihulurkan itu diharap dapat menggembirakan hati mereka untuk menyambut perayaan Deepavali.

“Semoga perayaan yang disambut dalam tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) ini memberikan seribu makna bagi mereka,” ujar Penyelaras DUN Larkin, Zakiah Tukirin yang telah menyempurnakan penyerahan pek sumbangan tersebut.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa NGO JB Prihatin, Zuryati Yasin dan wakil Jabatan Amal Johor Bahru, Adnan Abdullah menyerahkan sumbangan pek makanan pada kunjungan itu. – HARAKAHDAILY 15/11/2020