Sumbangan kanopi bantu peniaga kembali beroperasi

ADUN Panching segera hulurkan bantuan kepada peniaga kecil dibadai angin ribut

- Advertisement -

PAYA BESAR: Nasib para peniaga kecil yang ditimpa musibah oleh kejadian ribut hingga merosakkan premis niaga mereka telah mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Panching.

Prihatin dengan ujian yang menjejaskan usaha menafkahi kehidupan golongan tersebut, ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya telah memberikan sumbangan kanopi bagi membolehkan mereka kembali berniaga.

Inisiatif segera menerusi bantuan diberikan tersebut telah diadakan menerusi serahan langsung kepada peniaga terjejas pada majlis kecil di perkarangan Kedai Makan Arafat, Taman Tas, di sini, petang kelmarin.

- Advertisement -

Turut hadir semasa serahan ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Paya Besar, Mohd Rosli Saad dan Ketua PAS dan Umno Cawangan Taman Tas, Md Yusop Haron dan Mohd Waffa Abd Wahab.

Saksi kejadian, Mohd Farzi Ramli berkata, kejadian itu berlaku sepantas kilat di mana ketika tersebut beliau berada di tapak berniaga dengan melihat sendiri detik-detik bangsal para peniaga roboh.

“Baru nak turunkan kanopi tu sebab nak bagi tak tempias (air hujan). Lepas tu bunyi ‘prap’, bunyi pokok patah, lepas tu tumbang. Tiga kanopi habis. Pokok tu kira macam dah reput, angin mari (datang), terus patah. 

“Waktu tu dah hujan, baru nak mula hujan. Bunyi petir sekali, angin mari, terus habis,” ujar beliau menceritakan saat cemas tersebut.

Peniaga bubur ayam, Juli Remy Ismail, 37 memberitahu, ketika kejadian beliau pulang ke rumah dan gerai dijaga oleh suaminya di mana ketika itu jam sekitar 4:05 petang hujan dan angin mulai melanda.

“Hujan tak lama, dalam setengah jam je. Suami cerita, angin datang dari belakang tu, tolak. Habis kanopi terbang, yang dua tu memang terbang atas jalan raya, yang saya tak terbang sebab memang saya ikat dekat batu, cuma dia runtuh ke bawah. 

“Barang-barang niaga habislah. Jatuh apa semua, masuk air habislah. Gerai-gerai sebelah ni, mula dia orang pegang kanopi tu, lepas tu diaorang lepas je, habis terbang,” kata beliau yang mengetahui hal kejadian dari suaminya. 

Turut menerima bantuan kanopi ialah ibu tunggal anak empat yang menjual makanan pagi iaitu Nurul Izati Mohd Sharif, 33, namun amat bersyukur menerima bantuan awal disampaikan Ustaz Tarmizi kepadanya.

“Terima kasih kepada YB sebab cepatlah. Lepas kejadian tu, petang terus dia datang tengok. Turun padang. Dia tanya macam mana, berniaga berapa lama. Memang tak sangka dapat jumpa YB. 

“Saya ingat pagi tadi nak pergi beli kanopi dah, sebab tu je mata pencarian kita, saya ibu tunggal. Memang harap kat situ je (berniaga). Memang bersyukur sangat YB bagi kanopi,” katanya.

Turut mengalami kerosakan rumah disebabkan ribut petang itu ialah Venggadesa varatharajoo, 39, yang tinggal di Lorong 8 memberitahu atap rumahnya dan jiran sebelah diterbangkan angin melibatkan struktur zink dan batu. 

“Waktu tu saya kat bandar, mak saya sorang dekat rumah. Lepas tu angin kuat sangat. Apabila sudah terbang (atap), mak saya dah keluar dari rumah. Tengok-tengok hujan kuat, air sudah masuk dalam rumah. 

“Yang kita risau, rumah sebelah tu rumah kosong, lagi ada kabel elektrik semua basah. Semalam saya naik baiki atap, tengok rumah sebelah, kabel elektrik dia tak elok. Kalau jadi litar pintas, habis satu baris rumah memang kena,” ujar beliau. 

Sebelum penyerahan, Ustaz Tarmizi sempat memberi peringatan agar mereka yang terkena ujian ini terus bersabar dan kuat semangat kerana di sebaliknya telah begitu banyak nikmat Allah berikan.

“Kalau kita terima ujian macam ni, kita jangan tengok kepada ujian sahaja. Kalau tengok semalam, teruk jugalah ujian tu. Tapi kena tengok juga banyaknya nikmat Tuhan kepada kita. 

“Mungkin ada yang dah berniaga ada lima tahun, 10 tahun, 15 tahun, mungkin sekali baru kena macam ni. Ada berniaga setahun, kena ribut sekali. Kadang ada yang kena ujian sekali, dah rasa berat.

“Padahal nikmat tuhan tu, banyak kepada kita. Di samping kita tenang, sabar menghadapi ujian, kita juga redha melalui ujian, dan kita kena kenang nikmat-nikmat tuhan yang banyak kepada kita. 

“Semoga Allah S.W.T murahkan rezeki tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kalau ada rezeki-rezeki lebih, pakat-pakatlah sedekah sikit-sikit. Semoga bila kita sedekah ni, rezeki kita bertambah juga dari masa ke semasa, in shaa Allah,” kata Ustaz Tarmizi.

Selepas penyerahan kanopi di Taman Tas, Ustaz Tarmizi telah melawat ke Pandan 1 kerana mendapat khabar ribut telah melanda sekitar jam 3 petang di mana terdapat rumah dan kedai yang mengalami kerosakan. – HARAKAHDAILY 4/4/2021

- Advertisement -