Ustaz Muhaimin cukup dikenali di DUN Ayer Kuning

- Advertisement -

TAPAH: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS menyifatkan Ustaz Abdul Muhaimin Malek tidak lagi perlu diperkenalkan kepada penduduk di DUN Ayer Kuning.

- Advertisement -

Menurut beliau, ini kerana calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning itu sudah cukup dikenali dalam kalangan warga khususnya yang sering mengikuti kuliahnya di masjid sekitar kawasan berkenaan.

“Ada yang bekas anak murid, peniaga-peniaga di sini pun menampakkan sambutan yang sangat baik. Jadi kita berharap tempoh berkempen yang berbaki seminggu lagi ini dapat menyantuni lebih ramai lagi pengundi.

“Kita mengharapkan proses berkempen akan berjalan dengan lebih baik, insya-Allah,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas mengiringi Ustaz Muhaimin menyantuni pengunjung di Pasar Awam Tapah, semalam.

Tambah beliau, pihaknya percaya isu-isu yang berbangkit di DUN Ayer Kuning mampu membuatkan rakyat bangkit dan memberikan undi kepada Ustaz Muhaimin pada 26 April depan.

“Dalam tempoh seminggu pertama (kempen) ini, beliau banyak tumpukan kepada isu-isu tempatan, khususnya isu kesesakan trafik di pekan Tapah dan isu-isu alam sekitar yang dibangkitkan seperti isu ladang babi haram.

“Selain itu isu-isu pendidikan, isu-isu kebajikan anak muda itu sendiri memang sangat dekat dengan Ustaz Muhaimin.

“Masuk fasa kedua berkempen ini kita akan bangkitkan isu-isu nasional yang pastinya menyentuh periuk nasi rakyat khususnya penduduk dan rakyat di DUN Ayer Kuning ini,” tambahnya.

Beliau juga yakin calon ditawarkan PN itu mampu menarik bukan sahaja pengundi Melayu, malah menarik undi daripada pengundi bukan-Melayu dalam memberikan kemenangan kepada PERIKATAN NASIONAL.

“Kita menerima sambutan yang agak memberangsangkan, tiada penolakan. Mereka memang mengenali calon dan bersedia memberikan simbol calon nombor dua.

“Ada beberapa UDM (Unit Daerah Mengundi) yang sebelum ini kita tak berjaya tembusi, tetapi kali ini kita berjaya tembusi.

“Calon yang ditawarkan ini memang calon yang diterima dan disenangi oleh rakyat, dan kita mengharapkan semua pakat mengundi calon nombor dua, Ustaz Muhaimin untuk bawa suara di DUN Ayer Kuning ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!