Kenapa negara perlu isytihar darurat ketika ini?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat COVID-19 hanyalah satu mekanisme pentadbiran lebih jelas dari sudut undang-undang Perlembagaan dan bukannya satu bentuk pendekatan baru yang mengubah strategi kerajaan dalam menghadapi wabak.

- Advertisement -

Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, darurat menjadikan tindakan kerajaan dapat dilaksanakan menggunakan saluran perundangan lebih kukuh dan skop kuasa lebih luas berbanding mekanisme sedia ada yang digunakan ketika ini.

“Darurat ini dibuat kerana kerajaan perlu kuasa yang jelas. Bukan mudah nak suruh rakyat tidak keluar rumah, nak gerakkan jentera polis dan tentera, serta untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang ingkar. Kita mengejar masa antara kecekapan kita bertindak dan kecepatan virus merebak.

“Keadaan sekarang terhad kepada beberapa sekatan dan halangan birokrasi. Ini yang mahu dirungkaikan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam resolusi Perhimpunan Agung PBB 11 September 2020 baru-baru ini menekankan konsep “a whole-of-government response” bagi mengatasi Covid-19 ini.

“Maksudnya keseluruhan jentera kerajaan perlu fokus kepada isu ini, bukannya Kementerian Kesihatan sahaja. Ini juga pendekatan dalam banyak negara,” ujarnya dalam soal jawab Berita Harian yang disiarkan hari ini.

Menurutnya, dalam menangani COVID-19 ketika ini, urusan tersebut berada di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 yang mana meletakkan semua kuasa pada Menteri Kesihatan.

Katanya, pada ketika ini semua agensi lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kuasa melalui Menteri Kesihatan.

“Ini pelik dan janggal. Dalam MKN ada Perdana Menteri dan Menteri-menteri. Arahan-rahan berkaitan SOP dan lain-lainnya datang dari kenyataan Perdana Menteri atau Menteri Kanan Keselamatan.

“Jadi, kalau ikut amalan sekarang semua arahan yang dibuat bawah Akta 342 ini berpunca dari Menteri Kesihatan dan ‘diturunkan’ kepada Perdana Menteri atau Menteri Kanan. Ini memang janggal. Sebagai langkah sementara kita boleh terima, tapi tidak boleh berterusan begini,” ujarnya menjelas keperluan darurat sebagai jalan keluar terbaik.

Maklum beliau, pada ketika ini terdapat 79 negara telah mengisytiharkan darurat sebagai tindakbalas menangani pandemik COVID-19 sebagaimana data dari badan antarabangsa The Centre for Civil and Political Right (CCPR-Centre). – HARAKAHDAILY 25/10/2020