‘UmDAP Mantap!’: Kor Ming laungkan, Umno turuti sama?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laungan slogan ‘UmDAP Mantap!’ yang dicipta oleh Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming telah tular di media sosial, dengan dilihat disambut secara reaksi spontan, tetapi serba salah dan tersipu-sipu oleh beberapa penyokong Umno.

- Advertisement -

Penolong Setiausaha Agong PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan UmDAP wujud dan mendakwa ia propaganda pembangkang, namun usaha Kor Ming di Ayer Kuning menampakkan sebaliknya.

“Sebenarnya, usaha untuk memperkenalkan slogan ‘UmDAP Mantap’ telah cuba dimulakan di Johor ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota dengan Kor Ming telah mengakui bahawa ia telahpun dilancarkan di Johor.

“Namun senario di Johor khususnya, hubungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak berjaya untuk membawa agenda Kor Ming dan DAP tersebut.

“Tapi nampaknya di Perak, usaha Kor Ming semakin menjadi kenyataan apabila ahli-ahli Umno sendiri kelihatan menyahut seruannya walaupun tersipu-sipu keadaan mereka,” katanya menerusi kenyataan, pada Sabtu.

Beliau berkata, dominasi PH di Perak bukan sekadar angka, malah memberi kesan langsung terhadap arah tuju politik negeri itu.

PH menguasai 24 kerusi Dewan Negeri dengan DAP memiliki 18 daripadanya, manakala BN hanya memegang 8 kerusi, termasuk 7 milik Umno.

“Di Perak Umno atau BN terpaksa akur dengan kehendak DAP seperti mana yang disebut oleh Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad bahawa sidang DUN Perak pun ‘dikawal’ oleh DAP.

“Maka tidaklah pelik jika sepanjang kempen PRK Ayer Kuning ini laungan ‘UmDAP Mantap’ akan terus berkumandang walaupun Presiden Umno tegaskan bahawa slogan UmDAP tidak wujud,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!