Puluhan tahun bawah BN, Ayer Kuning tak terbela

Geran penduduk tak diberi, tiba-tiba rumah diambil orang lain

- Advertisement -

TAPAH: Penduduk di Taman Sejahtera Rakyat, Kampung Banir, di sini berharap agar Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April depan mampu mengubah nasib mereka ke arah yang lebih baik.

- Advertisement -

Salasiah Ismail, 60, melahirkan kekecewaan selepas kediaman yang didiami lebih 20 tahun itu masih tidak diberikan geran pemilikan oleh pihak kerajaan.

“Bukan tak pernah buat permohonan, dulu mereka kata lepas 15 tahun baru boleh. Tapi sekarang dah 20 tahun lebih, apa pun tiada lagi. Rumah yang saya duduki sekarang ini, sesiapa sahaja boleh ambil.

“Banyak yang tinggal di sini, tiba-tiba orang lain masuk, ambil rumah tersebut. Ada yang tinggalkan sahaja rumah mereka, kemudian orang lain masuk, berapa rumah sudah begitu. Mereka mohon, terus masuk ke dalam rumah.

“Sekarang saya masih ada di sini, nanti kalau saya dah tiada, anak-anak macam mana? Apa nak jadi dengan mereka selepas ini?” katanya yang tinggal bersama suami dan seorang anak kepada Harakahdaily, di sini.

Justeru, beliau yang kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerusi roda akibat sebahagian jari dan tapak kakinya yang dipotong berharap agar DUN Ayer Kuning dapat dimenangi PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Ada orang ambil berat tentang saya yang sakit? Takde orang ambil berat pun. Kerusi roda ini pun orang bagi. Wakil rakyat sekadar datang tengok-tengok sahaja.

“Sebab itu kerajaan kena bertukar. Sebelum ini dah berpuluh tahun BN di sini, masih begini juga keadaannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!