Menuju negeri maju berpendapatan tinggi 2030

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sarawak disaran memberikan fokus kepada beberapa perkara untuk memastikan hasrat mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 menjadi kenyataan.

Advertisement

Setiausaha PAS Sarawak, Mohamad Arifiriazul Paijo berkata, antaranya memperkasakan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang mempunyai rangka pembangunan sejak tahun 2008.

Termasuk perlu diberi nafas baharu oleh kerajaan negeri ujarnya, adalah hab halal serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bioteknologi yang menjadi salah satu elemen penting dalam sektor ini dengan lebih giat lagi.

Beliau turut mengemukakan pandangan perlunya Kerajaan Sarawak beralih pergantungan terhadap industri petroleum dan gas kepada industri makanan melalui sektor pertanian atas keluasan tanah serta potensi dikembangkan negeri itu.

“Kita berharap agar kekayaan serta hasil negeri ini dapat menjadikan negeri dan kehidupan rakyat bertambah makmur,” ujar pemimpin muda menetap di Miri serta berkelulusan dalam bidang minyak dan gas itu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, untuk mencapai status berkenaan perlu meraih pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lapan peratus setahun.

“Walaupun kadar ini agak tinggi, kita perlu melakukan strategi lompatan dan memberi tumpuan kepada sektor utama dengan mengandakan KDNK daripada RM133 bilion setahun kepada RM282 bilion menjelang tahun 2030,” katanya lapor Bernama.

Pada ketika ini KDNK Sarawak berada dalam lingkungan lima peratus di mana ke arah status dihasratkan itu kerajaan negeri telah merangka strategi Ekonomi Pasca COVID-19 dan Agenda Pembangunan 2030.

Perkara itu diucap beliau pada Majlis Jamuan Negeri sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-84 Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri Sarawak, malam tadi.

“Semua usaha ini adalah bermatlamatkan negeri maju dengan purata pendapatan isi rumah melonjak daripada RM5,000 kepada RM16,000 menjelang tahun 2030,” katanya dengan sasaran mengurangkan golongan isi rumah berpendapatan rendah daripada 53 peratus sekarang kepada 30 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Menurutnya juga, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (SEAC) khususnya dalam memacu dan merangka strategi pemulihan ekonomi pasca COVID-19 sehingga 2030 pada 6 Mei lepas.

SEAC jelasnya dirangka berteraskan tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi,  masyarakat inklusif dan kelestarian alam sekitar sebagai strateginya termasuk menggariskan lapan sektor ekonomi utama. – HARAKAHDAILY 11/10/2020