KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia mengalu-alukan kemasukan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak dan Exco Wanita Umno Malaysia, Dato’ Dr Wan Norashikin Wan Noordin ke dalam saf perjuangan PAS.
Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, beliau menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah atas keberanian Dr Wan Norashikin dalam membuat keputusan besar untuk meninggalkan Umno dan memohon menyertai PAS.
“Langkah ini bukan sekadar pertukaran parti, tetapi ia adalah tanda cinta kepada perjuangan Islam dan perpaduan ummah.
“Ia membuktikan bahawa semakin ramai dalam kalangan pemimpin wanita Melayu-Islam hari ini yang celik akan keperluan menyelamatkan hala tuju negara daripada arus liberal yang menggugat asas perlembagaan, agama dan bangsa.
“Perhimpunan rakyat yang tetap membanjiri majlis penyerahan borang keahlian walaupun dalam hujan lebat menjadi bukti bahawa gelombang rakyat untuk kembali kepada perjuangan Islam semakin kuat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Nuridah turut mengalu-alukan kehadiran Dr Wan Norashikin sebagai sebahagian daripada saf perjuangan Muslimat PAS dan berkeyakinan bahawa penyertaan itu akan memperkukuh usaha menyantuni rakyat, membina bangsa dan mengangkat martabat Islam.
“Semoga hijrah ini diterima Allah sebagai amal soleh, dan menjadi asbab bertambahnya kekuatan kita dalam menegakkan kebenaran. Semoga kita semua dikurnia Allah, menjadi golongan hamba-hamba-Nya yang berjaya dunia dan akhirat,” katanya.
Terdahulu, penyertaan bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampong Gajah daripada Umno untuk menyertai parti PAS telah diserahkan borang keahlian kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Peristiwa bersejarah itu berlangsung sempena Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, Tapah, semalam.
Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad dalam pada itu menyifatkan penyertaan Dr Wan Norashikin sebagai detik bersejarah dan merasa bersyukur serta mengalu-alukan kehadirannya dalam keluarga besar PAS.
“Kemasukan Dato’ ke dalam saf perjuangan ini adalah satu suntikan semangat dan kekuatan baru, khususnya dalam memperkukuh peranan PAS sebagai wadah politik Islam yang berprinsip, berstrategi dan berwibawa.
“Perjuangan dalam PAS bukanlah sekadar penyertaan dalam politik biasa. Ia adalah jalan yang penuh ujian dan mehnah, kerana perjuangan ini berlandaskan prinsip Islam yang murni. Kita tidak menjanjikan keselesaan dunia, tetapi kita mengharap redha Allah SWT dalam setiap langkah dan pengorbanan.
“Di sinilah tempat untuk kita menanam benih keikhlasan, menyiramnya dengan sabar, dan menuai buah-buah perjuangan yang hanya dinilai oleh Allah SWT.
“Dalam PAS, kita diajar bahawa kemenangan itu bukan semestinya berkuasa, tetapi kemenangan yang hakiki ialah bila hati tetap teguh bersama Islam walau dihimpit ujian dan dicabar dari segenap arah.
“Kita mencontohi para anbiya’, para pejuang Islam terdahulu yang tetap teguh walau dicemuh, difitnah dan dizalimi,” ujarnya Dr Najihatussalehah yang juga ADN Bota.
Beliau berharap Dato’ Dr Wan Norashikin terus melangkah dengan sabar, berlapang dada menerima tunjuk ajar, dan kekalkan keikhlasan dalam menyumbang kepada jamaah ini. – HARAKAHDAILY 20/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!