Tanpa syarat: Bagaikan pinjaman Along

- Advertisement -

MENTERI Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengulangi pendedahan pembentukan Kerajaan Pahang  bersama Pakatan Harapan di pentas ceramah semasa kempen DUN Tioman baru-baru ini adalah kerana ‘tanpa syarat’ yang ditentukan oleh PH dan beliau menerima PH berbanding PN kerana mengenakan beberapa syarat jika ingin membentuk kerajaan bersama PN.

- Advertisement -

Dalam situasi penting dan besar, penubuhan kerajaan negeri perlulah penelitian yang mengambil kira kesan baik dan buruk. Perlu ada ikatan atau syarat yang mampu mengikat atau mengawal kedua-dua pihak. 

Lumrahnya satu-satu ikatan, perjanjian, kontrak atau apa jua istilahnya, semua itu akan memberi kebaikan bersama, dalam istilah biasa ‘menang-menang’ adalah paling selamat dan selesa menatijahkan sesuatu kerjasama besar.

Sebaliknya, Wan Rosdy hanya mengambil jalan mudah kelebihan sebelah pihak sahaja. Jika di nisbahkan mungkin 9:1 situasi BN dengan PH di Pahang. Yang paling utama ialah beliau boleh kekal menjadi Menteri Besar walaupun buat pertama kali dalam sejarah negara, Umno kalah teruk dan hilang majoriti mudah. 

PH pula tidak kisah, siapa Menteri Besar pun sebabnya nanti mereka dapat satu-satunya bonus besar, mereka menjadi sebahagian kerajaan di salah sebuah negeri Pantai Timur. Boleh menjadi gerbang utama memperluaskan kuasa mereka selepas berjaya gapai impian koridor PH di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung.

DAP pula sudah lama mengimpikan sebuah negeri yang luas dan mempunyai simpanan tanah yang besar untuk agenda seterusnya. Mereka sebelum ini sudah memiliki negeri mutiara ekonomi, namun walaupun kaya mereka hadapi kekangan tanah.

Dengan agenda tanpa syarat ini, mereka boleh mengatur langkah dan sedang berkira-kira dengan perkembangan terkini yang mereka perolehi tanpa perlu berbelanja besar, hanya 8 kerusi DUN sahaja daripada 42 kerusi DUN Pahang. 

Walaupun PN memenangi 17 kerusi dan terbanyak, namun tidak melepasi majoriti mudah yang memerlukan 22 kerusi atau kekurangan 5 kerusi lagi untuk PN menubuhkan kerajaan negeri secara persendirian. 

Rundingan PN dan BN gagal kerana syarat-syarat kedua-dua pihak gagal disepakati dan PN mendedahkan syarat yang sangat tidak munasabah ditetapkan BN sepertimana dijelaskan oleh Timbalan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga dalam satu ceramah kempen DUN Tioman.

Dalam isu Wan Rosdy menerima PH ini kerana tertarik dengan tanpa syarat, tidak kasar jika saya mengatakan atau mengandaikan atau mengibaratkan sama seperti situasi seseorang jatuh dalam perniagaannya, hilang segala harta-harta yang ada, untuk terus kekal tentulah mencari bantuan luar, pinjaman Along contohnya, pemberi pinjaman menghulur bantuan tanpa banyak proses kepada sesiapa sahaja yang terdesakan kewangan.

Namun apabila pinjaman ini berjalan dan sampai masanya akan beranak pinaklah bunga pinjaman seseorang itu. Semasa pinjam tak fikir panjang kesannya kerana terdesak dan prosesnya yang sangat mudah, masalah akan timbul apabila bunga pinjaman lebih besar dari nilai pinjaman.

Along akan guna apa sahaja cara, ugut, pukul, kacau keluarga terdekat dan banyak kaedah samseng lagi diambilnya bagi mendapatkan balik duit mereka, walaupun peminjam sudah selesaikan sebahagian besar tuntutan.

Waktu inilah baru menyesal, jika terima pinjaman atau bantuan dari institusi bank atau syarikat yang mengenakan syarat ketat sebelum kelulusan, maka kita sudah tahu nilai tambahan yang dikenakan dan juga diperincikan dengan jelas andai kita gagal melunaskannya. 

Janganlah kita mudah tertarik dengan iklan atau tawaran ‘pinjaman tanpa penjamin, 24 jam permohonan lulus, pinjaman tanpa syarat dan bermacam-macam tipu daya pemberi pinjaman di luar sana. Sudah banyak kisah dan tauladan yang saban hari kita dengar dan lihat akan kesan buruk yang ditanggung pihak penerima tanpa syarat ini. 

Janganlah kita memilih jalan mudah tanpa syarat yang akan mendatangkan kesan buruk kemudian hari, memang benar hari ini kita boleh selesai sementara masalah, kalah pun boleh jadi Menteri Besar lagi, boleh jadi kerajaan lagi tapi jangan lupa agenda-agenda pihak berkehendakkan sesuatu balasan besar di kemudian hari. 

NARAZA MUDA – HARAKAHDAILY 2/12/2022

- Advertisement -