Hebat juga ‘taqiyyah’ DAP

- Advertisement -

DAP sebuah parti yang terdiri daripada berbagai bangsa, tetapi majoritinya dikuasai oleh bangsa Cina di dalamnya. Sekuat mana sekalipun mereka menafikannya dan berusaha mengajak bangsa lain terutama Melayu masuk, sekuat itulah juga rakyat Malaysia semakin tidak percaya. Tidak dipaksa dan tidak disuruh, tetapi Melayu Islam, sangat fobia dengan DAP.

- Advertisement -

Buktinya terakam dalam banyak perkara, termasuklah terbaharu apabila Khalid Samad mendakwa Lim Guan Eng sanggup menyerahkan kerusi Menteri Kewangan dan mengurangkan jumlah Menteri DAP di Kabinet, sekiranya DAPlah yang menyebabkan PH turut dibenci rakyat. Tawaran ini sangat signifikan bagi pemerhati politik kerana melihat betapa besarnya nilai pertukaran yang dicadangkan.

Disebalik Khalid mahu membuat rakyat Malaysia terharu dengan kesanggupan LGE itu, ianya tidak kelihatan mengikut skrip yang dijalankan. Rakyat malah, mentertawakan Khalid dan LGE. Mungkin ada beberapa kerat manusia yang bersimpati, menitiskan air mata atas tawaran pengorbanan ini. Tetapi rasanya sudah dimaklumi oleh sekalian rakyat, kumpulan manusia yang mana yang bersedih itu.

Ketika krisis politik yang melanda negara baru-baru ini, DAP pada permulaannya ada memberikan sedikit kritikan. LGE kemudiannya dilaporkan telah menuduh Tun sebagai dalang yang tidak membenarkan Manifesto PH dilaksanakan. Lalu rakyat menyambut perkataan beliau itu dengan cemuhan. Setelah kalah, baru nak sibuk dengan manifesto. Kemudiannya LGE dan DAP secara keseluruhannya, diam membisu.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen juga turut mencuba nasib. Apabila melihat Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih belum jelas menyatakan sokongan mereka ke arah mana, beliau cuba membeli jiwa GPS yang mempunyai 19 kerusi Parlimen dengan ajakan mahu berdamai dan melupakan kisah silam yang pedih antara mereka. Ketua Menteri Sarawak segera menjawab, mereka bukan bodoh. RBA mereka juga diam.

Itulah kali terakhir kenyataan dari DAP yang dilihat agak dekat dengan krisis ini. Manakala yang lain-lainnya ialah kenyataan mendamaikan. Ianya amat bagus bagi segera melegakan keadaan setelah bersengketa. Parti-parti politik lain, terutama PKR dan PAN, seharusnya belajar daripada DAP untuk tidak memanjangkan perbalahan sehingga menggugat rakyat dan pentadbiran negara.

Tetapi itu yang nampak di depan mata rakyat. Adapun banyak perkara yang terjadi di belakang tabir, telah juga diketahui rakyat. Cerita bagaimana orang-orang DAP yang dilatih oleh ejen-ejen negara luar, menerima dana daripada luar, menggunakan sepenuhnya media sosial bagi menabur fitnah, ada kes rasuah yang digugurkan, isu bagaimana bangsa Cina mendapat kemudahan yang banyak ketika mereka berkuasa.

Ingat kembali isu tulisan Jawi yang dipolemikkan mereka, bagaikan kita mahu mengheret mereka masuk Islam. Sekolah Vernakular, UEC yang mahu diiktiraf, isu komik Komunis, penghinaan mereka terhadap Tun, ketua mereka sendiri. Dan terkini Profesor Ramlah Adam sedang menyiasat apa yang dikatakan penyelewengan sejarah dalam buku teks.

Tidak dapat dinafikan juga oleh DAP, pembesar-pembesar mereka adalah Cina Kristian yang didakwa agak aktif menyebarkan ajaran Kristian. Bahkan, ada pendedahan, pimpinan Islam dari DAP sendiri yang mempersoalkan Islam itu dalam beberapa ucapan mereka. Perkataan-perkataan yang dipilih oleh pimpinan mereka seperti Taliban, jelas difahami untuk mengaitkan Islam dengan keganasan.

Lihat sahaja nama-nama mereka selain Hannah Yeoh, mereka ada Joseph Lim Guan Eng, Teressa Kok, Ronnie Liu, Anthony Loke, Tony Phua dan ramai lagi, jelas menunjukkan mereka beragama Kristian. Keaktifan mereka ini dapat dilihat jelas setelah memenangi PRU14 lalu. Kemudiannya banyak peruntukan yang diberikan mereka kepada sekolah swasta Cina, menampakkan betapa cepatnya kesempatan yang diambil mereka.

Menteri Kewangan juga dikatakan tidak mahu bertolak ansur dengan Kerajaan Terengganu berkenaan hutang. 25 peratus wajib dibayar kepada pusat setiap tahun, manakala hutang Pusat kepada negeri, langsung tidak mahu dibayar. Semua maklum, Terengganu ialah antara negeri tertinggi jumlah penduduk Melayu-Islam. Royalti pula diterima setelah Tun mahukan pusat membayarnya kepada Terengganu. Jika dibiarkan kepada menteri, entah apa akan jadi.

Suatu ketika sekitar tahun 2013, dalam pertemuan hari raya perantau dari Terengganu dengan pimpinan PAS negeri di Kuala Ibai. Salah seorang yang hadir bangun bertanya kepada Cikgu Pa, akan masalah kakitangan awam Melayu Islam di Pulau Pinang yang baginya seperti tidak diperlakukan dengan adil. Cikgu Pa menjawab, beliau akan lihat perkara itu.

Adun Penanti dari PKR yang mewakili kawasan majoriti Melayu, pernah menangis di dalam DUN Pulau Pinang kerana mendakwa kawasannya seperti tidak diberikan keadilan pembangunan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Dan kita tahu, kawasan-kawasan di bahagian pulau, sering mendapat tempat di hati pimpinan mereka. Umum juga mengetahui di sana, siapa majoriti penduduknya.

Sekarang mereka cuba berlakon, melakonkan watak air mata, watak menjadi mangsa. Mereka mula menunjukkan gambar-gambar mereka bersama kakitangan Melayu, sedih kerana mereka semua itu amat gigih dan dedikasi dalam berkhidmat kepada kementeriannya. Mereka juga dengan segera bersetuju dengan lantikan PM TS Muhyiddin Yassin oleh YDPA, bagi menunjukkan mereka tidak menderhaka.

Foto-foto mereka bersongkok ketika ke istana, sangat kerap melintasi ruangan maya. Mungkin meminjam songkok Menteri Agama yang dilaporkan sudah tidak bersongkok lagi sekarang. Begitulah pintar dan cepatnya mereka taqiyyah. Entah dengan siapa mereka belajar taqiyyah makam tinggi seperti ini. Jarang orang yang dapat melakukannya. Biasanya hanya Syiah yang mahir.

Sekarang PKR dan PAN, rancak mengatur kempen bagi kononnya mengambil balik mandat rakyat. Mereka juga menolak PM yang ada, jadi kelihatan yang menderhakai YDPA itu PKR dan PAN, bukannya DAP. Saya kurang arif jika ini adalah taktik sengaja mahu DAP dilihat suci, namun mereka kelihatan sanggup terpalit gelaran derhaka demi mendapatkan semula kuasa yang telah dilelong oleh Tun, ketua kesayangan mereka itu.

Kita tidak pasti bila DAP akan menyertai kempen-kempen PKR dan Pan ini. Tetapi saya nasihatkan agar semua jangan mempercayai DAP, kecuali Islam duduk di atas mereka. Mereka pandai berlakon. Tidak tertolak kemungkinan mereka akan mengecualikan diri dari PH dan memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional. Sabar menanti adalah kunci kejayaan mereka.

Gopoh merebut jawatan pula adalah resepi utama kegagalan kita. Nanti dibelanya beberapa orang Melayu Islam yang gila jawatan dan sanggup menjadi perkakas, untuk menghulurkan tongkat kuasa kepada mereka. Sudah kita lihat sekarang apa yang terjadi, ada melayu Islam yang memuja mereka sebagai kafir yang amanah, kemudiannya membantu mereka dengan sesungguh hati bagi menggapai kuasa.

Sekarang, mahukah kita ulangi sejarah hitam negara yang kita sendiri ciptakan dahulu akibat terpedaya kononnya mahu kemajuan, kita tolak BN. Kononnya mahu agama didaulatkan, kita tolak PAS kerana percaya kepada fitnah dan janji mereka. Sudah pasti ia kini bukan satu gurauan lagi. Perikatan Nasional yang ada di dalamnya Muafakat Nasional insya-Allah akan memenuhi kehendak rakyat dunia dan akhirat.

DAP mungkin boleh bawakan sedikit faedah dunia, tetapi mana mungkin mereka akan bawakan faedah akhirat kepada kita umat Islam. Jauhi DAP, selamatkan negara demi kesejahteraan dunia akhirat.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 8/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -