Anwar: Jebak politik populisme

- Advertisement -

Asal usul
Populisme bermula dalam kalangan petani di bahagian Barat Tengah, Selatan dan Barat Amerika Syarikat. Pada tahun 1870-an dan tahun 1880-an golongan petani mengalami penderitaan akibat kejatuhan harga tanaman dan peningkatan kos operasi. Kadar pengangkutan kereta api dan kadar faedah yang dikenakan oleh pihak yang memberi pinjaman telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan petani. Untuk meluahkan semua masalah ini, kumpulan petani membentuk persekutuan petani.

- Advertisement -

Persekutuan petani itu mendesak kerajaan supaya menambahkan lebih banyak wang dalam edaran, sama ada dengan mencetak lebih banyak wang kertas atau menghasilkan jumlah duit syiling perak yang tidak terhad. Dasar duit syiling ini dikenali sebagai perak percuma. Petani percaya peningkatan penawaran wang boleh membantu meningkatkan harga tanaman mereka. Mereka juga mahukan kerajaan mengawal sistem landasan kereta api atau mengambil alih sistem tersebut. Desakan ini merupakan matlamat utama pergerakan Populis.

Parti Rakyat
Pada tahun 1891, persekutuan petani mengadakan pertemuan dengan wakil daripada kumpulan pembaharuan dan buruh di Cincinnati, Ohio dan berbincang mengenai penubuhan sebuah parti politik yang baru. Persekutuan dan kumpulan ini menubuhkan Parti Rakyat setahun selepas itu di St. Louis, Missouri. Parti ini biasanya dikenali sebagai Parti Populist.

Pada tahun 1896, Parti Demokrat mencalonkan William Jennings Bryan dari Nebraska sebagai Presiden. Antara asas perjuangannya adalah untuk mendapatkan perak percuma dan tuntutan lain oleh Parti Populist. Parti Populist menyertai Parti Demokrat untuk memberi sokongan kepada Bryan tetapi dia tewas kepada William McKinley, calon dari Parti Republikan. Parti Rakyat mula merosot dan lenyap menjelang tahun 1904.

Pengaruh populisme
Sungguhpun Parti Rakyat lenyap, banyak daripada matlamatnya telah diterima oleh pergerakan progresif dan akhirnya diterima menjadi undang-undang. Matlamat ini termasuklah pemilihan terus Senator Amerika Syarikat dan inisiatif serta referandum (pungutan suara), iaitu proses apabila pengundi mencadangkan undang-
undang dan mengundi untuknya.

Pembaharuan lain yang disokong oleh Populis termasuklah cukai pendapatan berjadual, yang mengenakan cukai lebih tinggi terhadap pendapatan yang lebih tinggi, serta waktu bekerja lapan jam sehari.

Kini, perkataan populis sering digunakan untuk menghuraikan seorang ahli politik Amerika Syarikat yang menentang pemimpin parti dan merayu secara terus kepada orang ramai untuk mendapatkan sokongan. Kebanyakan daripada apa yang dikenali sebagai ‘populis baru’ ini berasal daripada kawasan pinggir bandar, dan dianggap sebagai orang luar oleh ahli politik tradisi. Ramai pemimpin yang mempunyai pelbagai falsafah yang meluas telah dikenali sebagai populis.

Semenjak tahun 1960-an, pemimpin ini termasuklah Presiden Jimmy Carter, Senator George S. McGovern dari Dakota Selatan, Gavenor George C. Wallace dari Alabama, dan Naib Presiden, Hubert H. Humprey.

Pada tahun 1892, parti ini mencalonkan James B. Weaver dari lowa sebagai Presiden dan James G. Field dari Virginia sebagai Naib Presiden. Asas perjuangan mereka ialah mendesak supaya kerajaan mengeluarkan perak percuma, pemilikan kerajaan dalam sistem kereta api, telegraf dan telefon dan pembaharuan politik yang lain. Calon parti itu tewas tetapi mereka mendapat lebih daripada satu juta undi popular dan 22 undi pemilihan. Sembilan wakil Populist telah terpilih ke Kongres Amerika Syarikat.

Evolusi Populisme
Hari ini dengan perkembangan teknologi dan internet menjadikan pengertian populis itu juga berkembang dan berevolusi. Daripada arus orang bawahan untuk menjatuhkan pemimpin yang korup, ia kini menjadi senjata ampuh politikus untuk memanipulasi sentimen dan emosi rakyat.

Segala gimik, manipulasi, provokasi dan slogan dibuat hanya menjurus untuk merebut kekuasaan dan mengukuhkan posisi peribadi, bukan lagi untuk membela rakyat.

Anwar dan Politik Populis
Nama ini tidak lagi suatu yang asing dalam warna-warni politik tanahair sejak 1998. Daripada jawatan nombor dua dalam Malaysia, direbahkan ke ke bumi oleh Mahathir, menjadikan politik tanah air bergelora puluhan tahun dengan slogan keramat “Reformasi”.

Hanya ada dua jalur arus, iaitu menyokong kerajaan (baca Mahathir) atau melawannya. Siapa yang tidak menyokong Anwar pada waktu itu dianggap tali barut, penjilat kerajaan dan menyokong kezaliman.  Daripada jalur keras dan provokatif, akhirnya ia mula mengendur.

Mengapa? Kerana retorika slogan yang dilaungkan oleh Anwar mula memakan diri. Sudah beberapa kali Anwar mendakwa memiliki majoriti untuk mengambil alih kerajaan bermula pada 2008, seterusnya 2017 dan terbaru 2020. Begitu juga isu Menteri Besar Selangor era Tan Sri Khalid Ibrahim dan kerusi Port Dickson.

Tidak dinafikan, gimik dalam politik sudah sebati dengan mana-mana politikus, bukan pada batang tubuh Anwar sahaja. Keghairahan untuk kekal berkuasa menjadikan politikus akan memilih arus populis sebagai jalan mudah. Bahkan ia juga mula meresap dalam kalangan ahli politik Islamis. Hal ini turut diulas oleh Dominic Muller dalam topik post-Islamis dan Pop Islamis.

Ke mana Anwar mahu bawa Malaysia?
Jika ditanya, apa sebenarnya yang Anwar mahu? Hanya mahu berada di kerusi PM? Lalu apa pula nadi perjuangannya? Dengan rekod gimik yang tidak pernah menjadi, jauh berbeza dengan gerakan populis di US, tidak banyak yang boleh diharapkan dari insan ini. Secara demokrasinya, tidak ada halangan untuk sesiapa menyokong Anwar sebagai PM, tetapi jika dinilai melalui rekodnya, sokongan itu memiliki asas yang kuat untuk dipertikaikan.

Pengajaran
Dengan realiti depan mata, bukan lagi suatu yang mudah untuk melaung slogan supaya terlibat dengan dunia politik. Apatah lagi menyeru kembali pada Islam, jom bersama Islam atau lebih tepat bersama Parti Islam.

Ukurannya bukan lagi hanya pada kumpulan yang paling ramai, slogan yang memukau atau ceramah yang berapi, tetapi soal pembuktian dan kejujuran yang dinilai melalui pencapaian secara membumi.

Anwar menjadi satu contoh politikus populis tegar yang selayaknya diinsafi oleh semua pihak, bahawa pendekatan tersebut bukan hanya memusnahkan karier peribadinya, bahkan tidak menguntungkan rakyat dan negara.

Rata-rata orang tidak mahu terlibat dengan politik, bukan kerana mahu berhibur dan tidak berminat soal jatuh bangun negara. Tetapi semakin meluat dan muak dengan joget tari politikus di atas. Buktinya, muncul Parti Anak Muda dengan hasrat mahu memulihkan negara, dan mungkin bakal muncul lagi parti-parti muda yang lain dengan hasrat yang sama.

Maka, sebab itulah tidak boleh mengabaikan kritikan-kritikan pedas mahupun sinis yang ditujukan kepada kita. Sikap berlapang dada dengan teguran boleh jadi membantu untuk kita membetulkan kesilapan secara mendasar.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Pensyarah
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 24/9/2020

_Rujukan_: Ensiklopedia Dunia DBP

- Advertisement -