‘Saya yakin Ustaz Muhaimin mampu bawa perubahan’

- Advertisement -

TAPAH: Seorang peniaga tempatan berharap calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 DUN Ayer Kuning akan menang dan membawa perubahan untuk penduduk setempat, khususnya aspek pembangunan dan keperluan asas peniaga.

Nurul Hidayah Abdul Rahim, 38, dari Kampung Baru Ayer Kuning berkata, meskipun tidak mengenali Ustaz Abdul Muhaimin Malek secara peribadi, namun beliau percaya kepada keperibadian dan potensi kepimpinan calon ditampilkan PN itu.

“Akak cuma kenal dia taklah secara peribadi, taklah tahu cara gerak kerja dia, memang tak pernah berjumpa secara berdepan macam ni, tak pernah. Cuma tahu dia seorang ustaz, itu aje.

“Dia kan yang Ahli Jawatankuasa Persatuan Maahad Tahfiz. Semua kita tahu dia (seorang ustaz) macam tu aje. Sebab dia Ustaz Muhaimin, automatik kita tahu dia adalah orang yang menyampaikan ilmu.

“Dari segi macam orang kata, macam nilah… sebab dia belum pernah menjadi sebagai ketua (Ahli Dewan Negeri – ADN), tapi akak rasa setakat ni akak rasa dia layak (untuk menjadi ADN Ayer Kuning).

“Boleh nampaklah secara ‘leadership’, nampak cara dia menyampaikan tu, menyuarakan sesuatu tu nampak berkeyakinan. Orang pun senang yakinlah dengan dia. Insya-Allah,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Nurul Hidayah, sejarah pilihan raya di DUN itu menyaksikan calon daripada parti PERIKATAN NASIONAL tidak pernah menang sebelum ini, namun beliau tetap mengharapkan ada rezeki berpihak kepada Ustaz Muhaimin kali ini.

“Kita tak tahu kan (sejarah di sini tidak pernah parti selain BN menang lagi) … tapi mana tahu rezeki dia. Insya-Allah, insya-Allah,” katanya lagi.

Beliau yang menjalankan perniagaan di kawasan kampung itu turut berkongsi keperluan utama penduduk, khususnya peniaga kecil di mana menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan barangan mentah dan keperluan harian.

“Kat sini kita kekurangan banyak perkara. Bukan kekuranganlah, memang tak ada. Salah satunya macam mini market ke, pasar raya ke yang sesuai untuk peniaga.

“Maksud akak macam ni, bila seorang peniaga tu nak membeli sesuatu, kita terpaksa ke pekan. Jadi agak jauhlah, agak sukar. Tapi Ayer Kuning ni kita tahu banyak kedai makan, banyak yang memerlukan barang-barang mentah, barang basah.

“Kat sini kalau tak dapat nak (buat) pasar raya pun, macam mini market yang boleh macam ‘fresh mart’ (pasar segar) itu kan. Sebagai peniaga, penduduk kat sini, akak rasa sangat memerlukan benda itu,” katanya.

Beliau menambah, kedai runcit sedia ada tidak mampu memenuhi keperluan peniaga dari segi harga dan kuantiti barang, menyebabkan ramai terpaksa ke Langkap, Kampar atau kawasan lain yang agak jauh.

“Kita fahamlah harga agak mahallah. Tapi mungkin kalau ada macam pasar, macam kak katalah mini market atau pasar raya, mungkin harga dia boleh kurang.

“Kalau nak bahan-bahan basah ke, bahan mentah, terpaksa ke Langkap ke Kampar ke… Itu kalau memang kita ada ‘list’. Tapi tiba-tiba kalau terputus bekalan barang basah tu, terpaksa beli dekat sini, harga agak mahallah,” ujarnya.

Selain itu, Nurul Hidayah turut membangkitkan isu keselamatan jalan raya yang terjejas akibat haiwan ternakan seperti lembu yang sering berkeliaran tanpa kawalan.

“Perkara lain… okey, satu lagi ni isu lembu-lembu berkeliaran tu. Kakak tak tahulah. Pernah jugalah bercakap dengan pihak ataslah… adalah kan, tapi macam isu ni tak ada penyelesaiannya. Masih banyak lagi berkeliaran.

“Kita fahamlah lembu ni binatang. Tapi tak ada ke pihak yang boleh (selesaikan masalah lembu ini)? Macam mana ya (kami nak) suarakan pada tuan (lembu) tu? Sebab akak rasa isu-isu ‘accident’ pun banyak dah tu kat depan (jalan) tu. Macam risaulah untuk keselamatan.

“Bagi akak, kalau Ustaz Muhaiminlah, kalau boleh dia ambil tindakanlah. Ya, kalau diberi (mandat menjadi ADUN Ayer Kuning,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/4/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!